AM

Fokus Kerjaya, Kekangan Kewangan Antara Faktor Kadar Perkahwinan Kurang - Nancy

30/11/2024 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Fokus kepada kerja, kekangan kewangan dan kesukaran mencari calon mejadi faktor kebanyakan individu memilih untuk menangguhkan hasrat untuk berkahwin dan kekal bujang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukry berkata berdasarkan dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5), sebanyak 86.8 peratus individu bujang mempunyai keinginan berkahwin namun tersekat oleh faktor berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan Statistik Perkahwinan dan Penceraian Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM), bilangan perkahwinan mencatatkan penurunan sebanyak 12.5 peratus kepada 188,100 tahun lepas berbanding 215,022 tahun sebelumnya.

“Penurunan kadar perkahwinan turut memberi kesan langsung kepada kadar kesuburan negara yang  kini hanya 1.7 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian populasi iaitu 2.1.

"Ini adalah cabaran besar yang perlu kita tangani kerana ia bukan sahaja melibatkan keluarga, tetapi juga masa depan aspek ekonomi dan sosial negara,” katanya ketika berucap pada program Majlis Resepsi Mahligai Cinta Perdana di sini hari ini.

Majlis berkenaan meraikan 35 pasangan yang menghadiri kursus praperkahwinan SMARTSTART 2.0 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) secara dalam talian dan fizikal pada 16 dan 23 Nov lepas.

Nancy berkata kursus SMARTSTART 2.0 itu bertujuan menyediakan pasangan dengan ilmu dan kemahiran penting seperti komunikasi berkesan, pengurusan kewangan dan pengendalian konflik sebagai usaha memperkukuhkan institusi perkahwinan.

Beliau berkata kursus itu yang diperkenalkan sejak 2006 dan ditambah baik pada 2022, ditawarkan oleh KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Saya yakin segala ilmu yang dipelajari akan membantu pasangan mengukuhkan hubungan mereka dan membina keluarga yang sejahtera,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan