AM

BSMM Kelantan Serah Lima Dapur Bergerak Mudahkan PPS Sedia Makanan

30/11/2024 07:21 PM

TUMPAT, 30 Nov (Bernama) -- Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Kelantan menyumbang lima ‘dapur bergerak’ kepada lima pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memudahkan bekalan makanan disediakan kepada mangsa banjir.

Pengerusi BSMM Kelantan Dr Seri Buana Zainuddin berkata empat daripada PPS itu di Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Pasir Puteh manakala terbaharu di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Batang, di sini yang menempatkan 532 mangsa.

“Dapur bergerak ini diserahkan kepada PPS yang mempunyai mangsa melebihi 200 orang supaya makanan dapat disediakan dengan cepat dalam masa singkat.

“Setiap dapur bergerak dapat memasak nasi bagi 300 orang dalam tempoh 45 minit sahaja, selain nasi dimasak tidak berkerak dan tidak menyebabkan pembaziran,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan dapur itu di PPS SK Kubang Batang di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Kebangsaan Pengurusan Bencana BSMM Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Bharu Mohd Rusli Abdullah.

Dr Seri Buana berkata pihaknya akan mengemukakan permohonan bagi menyediakan lebih banyak dapur bergerak yang setiap satu dianggar bernilai RM3,500.

BSMM Kelantan yang kini mempunyai lebih 200 sukarelawan, katanya akan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti bomba, polis, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi melancarkan gerak kerja dalam membantu mangsa banjir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan