Daripada N.Sevagamy
NEW DELHI, 30 Nov (Bernama) -- Kementerian Hal Ehwal Luar India menyifatkan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu baru-baru ini sebagai satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kerjasama antara kedua-dua pihak.
Jurucakap rasminya, Randhir Jaiswal, berkata kedua-dua negara mencapai kemajuan besar dalam bidang seperti ekonomi, pertahanan, teknologi, pelaburan, logistik dan hubungan diaspora.
“Perkembangan ini memberikan asas yang kukuh dan kami komited untuk terus memperkukuh kerjasama ini,” katanya kepada Bernama yang merupakan sebahagian daripada delegasi ke Program Kenali India (KIP) edisi ke-79, yang berlangsung di sini dari 25 Nov hingga 13 Dis ini.
Lawatan Anwar ke India dari 19 hingga 21 Ogos adalah yang pertama ke negara itu sejak memegang jawatan Perdana Menteri ke-10 Malaysia pada November 2022.
Ditanya mengenai inisiatif KIP untuk diaspora India, Randhir berkata edisi baru-baru ini menyaksikan penyertaan memberangsangkan daripada rakyat Malaysia, yang telah menimba pengalaman berharga menerusi program itu.
“Kami telah banyak belajar daripada satu sama lain, berkongsi ilmu dan amalan terbaik. Pada akhirnya, ia adalah mengenai langkah membina keluarga yang lebih kuat dan bersatu.
“Kami percaya pada konsep Vasudhaiva Kutumbakam iaitu dunia adalah satu keluarga dan kita berusaha ke arah matlamat yang sama,” katanya.
Sejumlah 27 wartawan diaspora India dari 11 negara termasuk Malaysia, Mauritius, Singapura, Indonesia, Fiji, Sri Lanka, Kenya dan New Zealand mengambil bahagian pada edisi kali ini.
Sebelum ini, Anwar ketika lawatan rasminya ke India menekankan bahawa Malaysia memperoleh potensi perdagangan bernilai RM8 bilion dalam sektor minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, kimia dan produk berasaskan kimia, minya dan gas serta alat ganti pesawat.
“Komitmen pelaburan berjumlah RM4.5 bilion turut diperoleh daripada pelbagai sektor dan syarikat di negara Asia Selatan itu,” beliau dipetik sebagai berkata.
Nilai perdagangan antara Malaysia dan India berjumlah RM72.31 bilion pada 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial