AM

RFL Malaysia Akan Diperluas Ke Dua Lagi Negeri Tingkat Kesedaran Pencegahan Penyakit Kanser

01/12/2024 06:41 PM

MELAKA, 1 Dis (Bernama) -- Program Relay for Life Malaysia (RFL Malaysia) akan diperluas ke dua lagi negeri pada tahun hadapan berbanding tiga negeri sahaja sebelum ini, sebagai usaha meningkatkan kesedaran pencegahan penyakit kanser dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Prof Madya Dr M. Murallitharan berkata setakat ini, program itu dianjurkan di Kuala Lumpur, Melaka dan Perak sebelum diperluas ke Pulau Pinang dan Johor, bagi memastikan mesej berkaitan penyakit membawa maut itu dapat disampaikan secara lebih meluas dan efektif.

“Pada tahun ini, kita telah menganjurkan RFL Malaysia di Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Nov melibatkan penyertaan lebih 3,000 peserta, manakala di Melaka hari ini dan semalam, lebih 1,000 peserta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan, sebelum program itu ke Perak pada 7 dan 8 Dis.

“Kita lihat program ini perlu diperluas, kerana menerusi medium tersebut masyarakat dapat didekati dan mesej berkaitan kepentingan pencegahan awal kanser dapat disampaikan secara terus kepada mereka dan pada masa hadapan ia dapat diadakan di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program RFL Malaysia 2024, dirasmikan Pro Naib Canselor Kolej Universiti Manipal Prof Dr Adinegara Lutfi Abas dan turut dihadiri Presiden NCSM Datuk Dr S. Saunthari dan Pengarah Syarikat Suria Harmony Resource Mohd Fikri Mohd Ali.

Murallitharan berkata program RFL Malaysia bukan sekadar acara, tetapi ia bukti kekuatan semangat manusia yang mempunyai harapan dan memerlukan sokongan dalam menghadapi kesukaran, khususnya mereka yang diuji dengan penyakit kanser.

Dalam pada itu, beliau berkata berlaku peningkatan pesakit kanser setiap tahun di negara ini dalam tempoh lima tahun sejak 2017 dan trend berkenaan menunjukkan kebimbangan lebih-lebih lagi kanser yang dihidapi lewat dikesan.

“Berdasarkan rekod, mereka yang menghidap kanser sekarang ini adalah dalam golongan muda berusia 30-an dan antara faktor utama ialah gaya hidup dan corak pemakanan yang kurang sihat, manakala kanser yang kerap dihidapi rakyat negara ini tidak kira wanita atau lelaki ialah payu dara, usus besar dan paru-paru,” katanya.

Terdahulu, pada program berkenaan NCSM menerima sumbangan RM5,000 daripada Suria Harmony Resource yang disampaikan Mohd Fikri kepada Saunthari.

Mohd Fikri berkata sumbangan berkenaan merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan, dalam usaha membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti NCSM agar lebih banyak program kesedaran berkaitan kanser dapat dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Saya mengenali NCSM secara lebih dekat menerusi Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, ketika saya dan beliau menerima Anugerah SEBA 2024 pada November lepas... beliau banyak memberi inspirasi kepada saya melakukan kerja-kerja CSR.

“Kami akan terus membantu golongan memerlukan menerusi NGO yang ada di negara ini kerana setiap tahun syarikat mempunyai bajet untuk sumbangan CSR,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan