SUNGAI PETANI, 1 Dis (Bernama) -- Sepuluh mesin ubat layan diri ditempatkan di sekitar Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar menerusi kluster kedua Program Komuniti Sejahtera (PKS) yang dilancarkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) hari ini.
Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff berkata PKS merupakan program khusus Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memperluas konsep perkongsian keuntungan kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada warga emas, uzur serta orang kurang upaya (OKU).
"Pada 2021, KEDA melantik D'Sara Fried Chicken sebagai pengurus projek bagi kluster pertama dengan peruntukan berjumlah RM300,000 yang merupakan padanan kepada 30 penerima manfaat di seluruh Kedah.
"Menerusi kluster kedua yang dilancarkan hari ini, KEDA melantik Farmasi Klebang Restu sebagai pengurus projek dengan peruntukan berjumlah RM250,000 yang merupakan padanan kepada 25 penerima manfaat di seluruh negeri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Mesin Layan Diri (Bidang Farmasi) PKS dan Majlis Penyerahan Dividen Projek Restoran D'Sara Fried Chicken PKS di sini hari ini.
Beliau berkata daripada 10 mesin layan diri berkenaan, tujuh daripadanya ditempatkan di farmasi terpilih dan tiga lagi di premis awam.
"Terdapat 10 lokasi yang dipilih oleh Farmasi Klebang Restu termasuklah enam farmasi di Sungai Petani iaitu Farmasi Ambangan (Bandar Amanjaya), Farmasi Lily (Bandar Laguna Merbok dan Kota Kuala Muda), Farmasi Batik (Taman Batik) serta Farmasi Umar (Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria Jaya).
"Bagi kawasan Alor Setar, dua lokasi terpilih ialah di Farmasi Semut Gajah, Kota Sarang Semut dan premis Dobi Kota Kedah, Jalan Langgar manakala di Kulim, dua buah mesin ditempatkan di Dewan Kulim Hindu Sabha, Jalan Serindit," katanya.
Ismasuhaimi berkata ubat-ubatan yang ditempatkan di dalam mesin berkenaan merupakan ubat yang lazim dicari masyarakat seperti ubat demam, cirit-birit, batuk dan ubat cacing.
"Ini merupakan pilihan untuk masyarakat mendapatkan ubat pada waktu kecemasan, luar waktu operasi farmasi. Bagaimanapun untuk rawatan lebih teliti mereka perlulah dapatkan rawatan doktor di klinik atau hospital," katanya.
Sementara itu, seramai 30 keluarga menerima pembayaran dividen bagi suku kedua tahun ini iaitu sebanyak RM1,000.
Ismasuhaimi berkata pengagihan dividen dibuat empat kali setahun iaitu setiap tiga bulan sekali.
"Saya harap pembayaran dividen ini dapat mengurangkan bebanan dan juga kos sara hidup yang tinggi pada masa kini. Saya juga harap dividen yang diagihkan hari ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
"Sementara bagi kluster kedua pula, pengurus projek menjangkakan dividen dapat dibayar kepada penerima pada suku pertama 2025," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial