GUA MUSANG, 1 Dis (Bernama) -- Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) berjaya mengutip hasil cukai taksiran sebanyak RM6 juta dari Januari hingga November tahun ini melibatkan kira-kira 25,000 pembayar cukai.
Yang Dipertua MDGM Nik Raisnan Daud berkata jumlah berkenaan dibayar tanpa melibatkan pengeluaran notis dengan kadar cukai taksiran kebanyakannya antara RM150 hingga RM300 setahun, bergantung kepada jenis bangunan.
“Hasil daripada pendapatan cukai ini secara tidak langsung dapat membantu dalam pembangunan infrastruktur setempat termasuk menyediakan taman riadah, padang bola, kemudahan di tempat berkelah serta gelanggang badminton.
“Bagi memberi galakan dan penghargaan kepada pembayar, kami juga mengadakan program cabutan bertuah yang menawarkan 200 hadiah termasuk tiga motosikal baru-baru ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Nik Raisnan berkata lebih RM60,000 daripada hasil kutipan cukai taksiran yang diperoleh telah digunakan untuk program berkenaan.
"Sekiranya kutipan cukai taksiran mencecah RM10 juta, kita akan mengadakan dua siri cabutan bertuah bagi memberi suntikan semangat kepada penduduk untuk membayar cukai taksiran mereka," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial