AM

Kos Baiki Jalan Terjejas Banjir Di Kelantan Dianggar RM22.5 Juta - Ahmad

02/12/2024 02:56 PM

KOTA BHARU, 2 Dis (Bernama) -- Kos membaiki jalan persekutuan dan jalan negeri terjejas akibat banjir di Kelantan dianggar bernilai RM22.5 juta, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan. 

Beliau berkata bagi jalan persekutuan terdapat 12 lokasi terjejas banjir yang mengakibatkan lapan tanah runtuh, dua bahu jalan runtuh dan dua jalan mendap yang memerlukan kos pembaikan dianggar RM16 juta. 

“Bagi jalan negeri, terdapat empat lokasi terjejas mengakibatkan dua jalan runtuh, satu bahu jalan rosak dan satu jalan mendap dengan anggaran kos pembaikan RM6.5 juta,” katanya kepada pemberita di Pejabat Jabatan Kerja Raya negeri di sini hari ini.

Ahmad berkata peruntukan akan diusahakan melalui peruntukan tambahan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atas sebab kerosakan akibat bencana dan sesuatu kerosakan lazimnya mengambil masa tiga bulan untuk diperbaiki.

“Banjir ada gelombang... gelombang satu, dua dan tiga. Kita terpaksa tunggu dan lihat dalam masa beberapa minggu dikhuatiri apabila kita baiki awal, berlaku lagi banjir," katanya.

Ahmad berkata Monsun Timur Laut yang melanda tahun ini tidak menjejaskan kemajuan projek utama di negeri ini seperti Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Jalan Kota Bharu-Kuala Krai. 

“Ketika kita memberikan projek-projek berkaitan, anggaran masa yang kita berikan kepada pihak yang mendapat projek seperti sekolah, jambatan, balai polis dan pusat kesihatan contohnya, mengambil kira Monsun Timur Laut. 

“Sebagai contoh, stadium untuk Sukan Malaysia (SUKMA) di Bukit Merbau Pasir Putih dijangka siap 2026 dan hospital Bachok telah mula beroperasi semalam,” katanya. 

Beliau berkata antara jalan negeri yang paling teruk terkesan ialah Jalan Gua Musang-Jelawang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani juga meminta membina satu jambatan Bailey, yang tidak dapat dilakukan kerana tiada jalan alternatif di situ. 

“Kawasan itu tiada jalan alternatif dan tidak boleh dibuat lencongan kerana berada di kawasan tinggi. Jika dibina jambatan Bailey pun akan terpaksa dibuka kemudian, jadi lebih baik dibuat jambatan kekal,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan