AM

KUSKOP Laksana 49 Tamu Desa Di Sabah, Sarawak Dijangka Siap Tahun Depan

02/12/2024 05:28 PM

KOTA KINABALU, 2 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) kini sedang melaksanakan 49 Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) Fasa 2, iaitu masing-masing 18 tapak di Sabah dan 25 di Sarawak.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata projek naik taraf atau bina baharu tamu itu dengan peruntukan RM10 juta, dijangka siap sepenuhnya Mac tahun depan bagi merangsang aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.

Beliau berkata perkara itu dapat direalisasi dengan menjadikan projek Tamu Desa ini sebagai pusat pertumbuhan ekonomi setempat, yang memberi manfaat kepada peniaga dan penduduk dan menjadi platform yang memberi impak positif jangka panjang kepada peniaga kecil.

“Tamu Desa menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan meningkatkan aktiviti perniagaan, mengurangkan kemiskinan di luar bandar serta memperkukuh sektor keusahawanan dan perdagangan tempatan, sekali gus dapat meningkatkan sektor pelancongan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual khas bersama Bernama serta akhbar tempatan Borneo Post dan Utusan Borneo di sini hari ini.

Ewon berkata Tamu Desa menjadi pusat jualan produk tempatan seperti hasil pertanian dan kraftangan, yang dapat membantu meningkatkan pengeluaran dan perdagangan produk-produk tempatan.

“Ia juga memberi peluang untuk produk tempatan dipasarkan ke pasaran yang lebih luas, meningkatkan pendapatan negara melalui penjualan produk domestik yang berkualiti,” katanya.

Ewon berkata pembentangan Belanjawan MADANI 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt 2024 lepas, menyaksikan sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi membina gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di semua PBT seluruh negara, menaik taraf kemudahan perniagaan termasuk ruang niaga kepada penjaja kecil Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata Kuskop akan bekerjasama dengan kerajaan Sabah dan Sarawak dan pejabat daerah di Sabah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak, akan dilantik sebagai agensi pelaksana bagi  membangunkan premis Tamu Desa yang lebih baik dan kondusif.

Ewon juga bercadang untuk menjadikan program Tamu Desa sebagai inisitif tahunan kementerian berkenaan, malah terdapat Ahli Parlimen dari Semenanjung mencadangkan kepadanya untuk melaksanakan program Tamu Desa di kawasan mereka, khususnya di kawasan kampung.

Sementara itu, Ewon berkata bermula tahun lepas kementeriannya telah melancarkan Skim Pembiayaan Khas untuk mereka yang berniaga di pasar tamu komuniti.

“Melalui program ini, kita lihat sambutan sangat memberangsangkan dan ramai yang memanfaatkan pinjaman ini untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Pinjaman modal sehingga RM5,000 itu cukup membantu ibu-ibu yang baru mahu memulakan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata untuk memperkasakan peniaga kecil, kementeriannya bukan sahaja menyediakan infra dan kemudahan pinjaman, namun kementerian juga mewujudkan pelan strategik dengan setiap peniaga digalakkan membuat caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk perlindungan sosial.

“Selain itu kita mahu semua peniaga kecil mempunyai lesen berniaga, sama ada lesen daripada pejabat daerah atau permit berniaga daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan