AM

Tabung Haji Sumbang Hampir RM160,000 Bantu Pelajar Asnaf

02/12/2024 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) menyumbangkan hampir RM160,000 untuk Program Bijak Bestari Kampung Bharu yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar asnaf dan menyokong usaha kerajaan melalui inisiatif Kampung Angkat MADANI.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang melibatkan kira-kira 100 pelajar sekolah rendah dan menengah itu turut bertujuan membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan bagi menangani masalah keciciran pelajaran.

Program itu dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini dan turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman.

"Terima kasih dan tahniah kepada TH kerana menyahut usaha Kerajaan MADANI dalam menzahirkan keprihatinan terhadap keperluan komuniti luar bandar, khususnya dalam aspek pembangunan pendidikan melalui Program Bijak Bestari Kampung Bharu ini," kata Na'im semasa majlis pelancaran itu.

Program yang berlangsung dari 5 Okt hingga 14 Dis itu merangkumi aktiviti seperti kelas tuisyen, kem motivasi, bengkel dan seminar pembelajaran bagi memupuk minat pelajar untuk terus hadir ke sekolah.

Sementara itu, Syed Hamadah berkata program yang mendapat kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan memfokuskan kepada pelbagai topik menarik seperti sains, keusahawanan, teknologi robotik dan teknik menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Turut menjadi tumpuan ialah prospek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan institusi pengajian tinggi, perancangan kerjaya dan perkongsian ilmu daripada tokoh-tokoh bidang berkaitan.

“Selain penganjuran seminar dan kelas tuisyen untuk pembangunan akademik, para pelajar ini juga akan menyertai kem dan bengkel luar yang memberi fokus kepada penerapan nilai murni selain pembangunan dan disiplin diri,” katanya.

Dalam pada itu, TH sebagai organisasi Islam yang prihatin turut menyumbang sebuah van jenazah bagi kegunaan qariah Mukim Telekung di Kuala Krai, Kelantan di bawah Program Kampung Angkat MADANI dan Santuni MADANI.

Selain itu, Kampung Dato Sri Amar Diraja, Muar, Johor dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI TH dan menyampaikan sumbangan sebanyak RM40,000 kepada Pusat Jagaan Bakti Murni dan Surau Al-Raudah bagi menampung kos  pengurusan serta penambahbaikan kemudahan di samping melaksanakan aktiviti gotong-royong di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan