AM

Waspada, Kekal Cakna Ancaman Mpox Menjelang Musim Cuti Akhir Tahun - Pakar

02/12/2024 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Menjelang musim cuti akhir tahun, orang ramai diingatkan supaya  sentiasa berwaspada dan mengambil berat kebimbangan kesihatan termasuk yang berkaitan penyakit Mpox.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan Mpox sebagai ancaman kesihatan global dan ia kekal sebagai risiko, dengan lonjakan kes baru-baru ini menekankan keperluan untuk kesedaran, pencegahan dan mengetahui langkah yang perlu diambil sekiranya terdedah.

Pakar Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Aaron Lai Kuo Huo memaklumkan Mpox tergolong dalam keluarga virus Orthopoxvirus yang merangkumi cacar dan cacar lembu.

“Walaupun Mpox mempunyai persamaan dengan cacar, ia masih wujud, terutamanya di rantau Afrika Tengah dan Barat. Virus ini mempunyai dua clade utama iaitu Clade 1 (endemik di Afrika Tengah) dan Clade 2 (endemik di Afrika Barat). 

"Wabak yang sedang berlaku di Afrika adalah disebabkan oleh strain Clade 1, yang dikenali dengan kadar jangkitan lebih tinggi dan gejala lebih teruk seperti lesi kulit yang jelas dan masalah pernafasan. Varian baharu, Clade 1b, semakin meningkat akibat pertambahan jangkitan manusia ke manusia dan keupayaannya untuk mengelak daripada dikesan oleh sistem imun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Aaron berkata strain itu perlu dipantau dengan teliti kerana ia boleh menjejaskan keberkesanan vaksin dan mengakibatkan kadar komplikasi yang lebih tinggi termasuk lesi kulit yang teruk, kesukaran bernafas dan juga melibatkan organ.

Beliau berkata Mpox berjangkit terutamanya melalui sentuhan fizikal dengan orang yang dijangkiti atau objek yang tercemar, hubungan seksual atau dari haiwan kepada manusia melalui kontak secara langsung dengan haiwan yang dijangkiti di kawasan endemik.

"Virus ini berjangkit melalui sentuhan secara langsung dengan cecair badan, lesi kulit atau titisan pernafasan semasa kontak bersemuka yang lama," katanya menambah virus juga boleh disebarkan dengan berkongsi barangan peribadi seperti tuala atau pakaian dengan orang dijangkiti.

Sementara itu, Dr Aaron berkata cara paling berkesan mencegah penularan adalah dengan mengelakkan sentuhan kulit ke kulit, elak berkongsi barangan peribadi dengan individu yang dijangkiti terutama mereka yang menunjukkan simptom nyata seperti ruam atau lesi kulit serta menjaga kebersihan tangan dengan baik.

"Gejala awal termasuk simptom seakan selesema seperti demam, sakit kepala, sakit otot dan bengkak nodus limfa. Ini diikuti dengan ruam yang muncul selepas satu hingga tiga hari selepas demam selain ruam bermula pada bahagian muka dan merebak kepada kaki dan tangan serta menjadi bertambah buruk.

“Bermula dengan ruam yang rata, ia kemudian membengkak menjadi benjolan, lepuh dan lesi bernanah yang boleh menyebabkan kuping. Dalam sesetengah kes, ruam boleh menyebabkan komplikasi seperti jangkitan sekunder bakteria, dan ini akan memburukkan lagi keadaan," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mengesyaki telah terdedah kepada Mpox untuk mengasingkan diri dengan segera bagi mencegah penyebaran, mendapatkan nasihat perubatan untuk ujian dan diagnosis, atau elakkan kontak, terutama dengan golongan berisiko termasuk individu yang kurang daya tahan jangkitan (immunocompromised), wanita hamil dan kanak-kanak.

"Ujian untuk mengesan Mpox biasanya melibatkan calitan dari lesi kulit atau nasofaring. Seterusnya, kes akan dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan untuk pengesanan kontak. Elakkan kontak rapat dengan orang lain sehingga diagnosis disahkan dan gejala telah pulih," katanya. 

Sementara itu Dr Aaron berkata sesetengah individu lebih berisiko, termasuk yang mempunyai sistem imun lemah, risiko lebih tinggi bagi wanita hamil, kanak-kanak dan individu yang mempunyai ramai pasangan seksual.

“Ini boleh menyebabkan keguguran, kematian bayi dalam kandungan atau kelahiran pramatang. Mpox juga boleh ditransmisikan semasa bersalin jika ibu mempunyai lesi kulit yang aktif atau selepas bersalin melalui sentuhan semasa menyusu atau menjaga bayi," tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan