KOTA BHARU, 3 Dis (Bernama) -- Walaupun tidak dapat meneruskan kerja hakiki sebagai tukang rumah pada musim banjir, ia tidak menghalang Syed Iskandar Zulkarnain Syed Mazhor, 41, untuk terus meraih pendapatan dengan mencari alternatif menjual hampir 200 kilogram (kg) ubi kayu sehari.
Syed Iskandar Zulkarnain berkata dia mula berniaga ubi kayu sejak dua minggu lepas di Jalan Kemumin, Panchor dengan bekalan sebanyak dua tan diperoleh daripada pembekal tempatan di Jeli.
“Terdapat dua jenis ubi kayu dijual iaitu isi kuning dan isi putih. Kebiasaannya isi kuning untuk dibuat kuih-muih seperti putu halba, tapai dan ubi goreng manakala isi putih untuk direbus yang dimakan bersama-sama kelapa parut.
“Alhamdulillah, setakat ini permintaan terhadap ubi kayu sangat menggalakkan terutama ketika musim tengkujuh ini sehingga saya mampu menjual hingga 200 kg sehari pada harga RM4 sekilogram,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Syed Iskandar Zulkarnain yang menetap di Kok Lanas berkata dia tidak menyangka percubaannya untuk menjual ubi kayu sebagai pendapatan sampingan membuahkan hasil.
“Saya merancang untuk menambah bekalan ubi kayu dalam beberapa hari lagi bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Bagaimanapun, berniaga ubi kayu ini mempunyai risikonya tersendiri memandangkan tidak boleh terdedah kepada air hujan dalam tempoh yang lama. Sekiranya ada ubi kayu yang rosak, saya akan memotong bahagian yang terjejas sebelum menjualnya kepada pelanggan,” katanya.
Seorang pelanggan Rogayah Yunos, 59, dari Kampung Tanjong Mas berkata ubi kayu rebus menjadi menu wajib bagi keluarganya setiap kali musim tengkujuh.
“Saya akan pilih ubi kayu jenis isi putih memandangkan ia lebih sesuai direbus dan dicicah dengah kelapa parut,” katanya sambil menambah harga ubi kayu yang dijual pada musim tengkujuh ini berpatutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial