AM

PDRM Tidak Boleh Tolak Ansur Sebarang Salah Laku - Anwar

03/12/2024 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang salah laku demi menyelamatkan bangsa dan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tindakan itu penting kerana negara menuntut perubahan termasuk dalam aspek pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Yang memungkinkan ekonomi meningkat, pelaburan masuk, orang rasa tenang dan aman, berjalan dengan selesa siang dan malam, bekerja syif malam di hospital dan sebagainya dengan rasa tenang dan aman kerana kecekapan dan kecekalan PDRM keseluruhannya,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis pelancaran IPCC (Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis), Police, Friends and Collaborators (IPFC), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Anwar berkata PDRM kekal sebagai tonggak utama pertahanan dalam memastikan keamanan dan ketenteraman rakyat terjamin.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan rakyat untuk tidak melupakan jasa dan khidmat anggota penguat kuasa termasuk PDRM yang bertungkus-lumus terlibat dalam koordinasi bantuan banjir.

“Kita lihat polis bertugas bukan soal mengawal jenayah, tetapi lebih daripada itu, sebagai anggota masyarakat yang prihatin membantu.

“Kalau lihat mereka ini tidak cukup tidur, tetapi kerja kalau ditanya, tak pernah yang kata letih atau sukar,” kata beliau.

Sementara itu, IPFC ialah program di bawah pelan strategik IPCC, berperanan merealisasikan visi sebagai badan pemantau bebas yang dipercayai bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada integriti pasukan polis.

IPFC berobjektif membantu memantau tatakelakuan anggota polis, melindungi hak asasi orang awam dan anggota polis, memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan dan keberkesanan IPCC dan PDRM.

Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan IPFC, IPCC akan mengukuhkan hubungan kerjasama dengan rakan strategik antaranya kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, PDRM, perwakilan luar negara, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat swasta, institusi pengajian tinggi, media dan orang awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan