KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang bermula Jun lepas di Semenanjung Malaysia menunjukkan pengurangan tangkapan kes penyelewengan minyak diesel dan penggunaan yang lebih terkawal.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata data menunjukkan penurunan tangkapan kes penyelewengan minyak diesel sebanyak 321 sejak penyasaran subsidi diesel dilaksanakan sehingga kini berbanding 774 pada tahun lepas.
“Dari segi penggunaan, kalau kita lihat dari segi Op Tiris sejak dilaksanakan penyasaran subsidi diesel, penggunaan ataupun nilai rampasan kes-kes ini menurun sebanyak 71 peratus bagi diesel dan ada kenaikan daripada aspek kes bagi RON95 sebanyak tujuh peratus.
“Jadi kita lihat memang adanya dari segi data-data tersebut keberkesanan penyasaran subsidi diesel namun dari segi kos sara hidup, harga barang yang secara langsung dikaitkan dengan (penyasaran subsidi) diesel itu tidak ketara tetapi lebih kepada pergerakan harga disebabkan oleh permintaan dan penawaran,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanyakan sama ada kerajaan bersetuju bahawa penyasaran subsidi diesel itu tidak begitu berkesan untuk mengatasi masalah penyeludupan minyak diesel malah hanya menjadi punca utama kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menjawab soalan tambahan Dr Richard Rapu (GPS-Betong) yang ingin tahu keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh kementerian dalam mengekang penyelewengan bekalan minyak bersubsidi terutama di Sabah dan Sarawak, Armizan berkata satu mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan diadakan di Kuching, Sarawak pada 14 Dis ini.
“Mesyuarat ini untuk melihat apakah pendekatan yang perlu kita perkasa supaya kita dapat mengekang dan membanteras ketirisan subsidi, khususnya subsidi diesel yang belum disasarkan bagi Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.
Terdahulu, menjawab soalan asal Rosol mengenai jumlah tangkapan dan rampasan bagi kes penyelewengan subsidi diesel sejak 2022 hingga kini, Armizan berkata dari Januari 2022 hingga Oktober lepas, sebanyak 1,617 kes direkodkan di Semenanjung Malaysia, Sarawak (421 kes), Sabah (141 kes) dan Labuan (11 kes).
“Jumlah nilai rampasan diesel yang dihasilkan ialah RM47 juta. Bilangan tangkapan yang dilakukan dalam tempoh itu ialah 1,177 orang melibatkan warganegara dan bukan warganegara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial