GUA MUSANG, 3 Dis (Bernama) -- Laluan utama masyarakat Orang Asli di Pos Gob di sini tidak dapat diakses berikutan cerun runtuh berhampiran Sungai Pelat, semalam.
Kejadian tersebut menyebabkan kira-kira 500 penduduk Orang Asli suku Temiar terputus hubungan dan tidak dapat menggunakan jalan tersebut.
Ketua Jaringan Kampung Orang Asli Pos Gob Yusman Abdol, berkata tujuh kampung yang terjejas ialah Kampung Gob, Kampung Kacheng, Kampung Brog, Kampung Bercap, Kampung Tembaga, Kampung Kelerang dan Kampung Rang.
“Kejadian ini mungkin disebabkan oleh hujan yang berterusan sejak 20 Nov lepas menyebabkan tanah di kawasan cerun menjadi lembap. Kami hanya menyedari laluan itu terhalang setelah keluar secara berkumpulan untuk ke bandar Gua Musang bagi mendapatkan bekalan makanan.
“Kami mengambil peluang untuk keluar memandangkan cuaca cerah dan tidak hujan semalam. Namun, setibanya di kawasan Sungai Pelat, laluan didapati tertutup oleh pokok-pokok tumbang, malah jalan juga berlumpur tebal,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya mereka mengambil masa lebih dua jam untuk mengalihkan pokok-pokok yang tumbang dan terpaksa mengangkat motosikal yang tenggelam dalam lumpur.
“Perjalanan memakan masa lebih lapan jam untuk keluar dari Pos Gob berbanding kebiasaan yang hanya mengambil masa empat hingga lima jam," katanya sambil merayu pihak berwajib agar mengambil tindakan segera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial