AM

Hubungan Kukuh Akademia, Industri Penting Tangani Isu Padanan Kerja Dalam Kalangan Graduan

03/12/2024 11:08 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Hubungan kukuh pihak akademia dan industri adalah penting bagi menangani isu ketidaksepadanan antara kemahiran graduan dan jangkaan industri, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata kerjasama akademik dan industri yang selari akan menyokong pertumbuhan negara dengan mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memacu sektor kritikal seperti teknologi, pembuatan dan penjagaan kesihatan.

Zambry berkata menyedari peranan penting Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), pihaknya kini berusaha memasukkan pendidikan bidang itu ke dalam rangka kerja nasional sambil menerima peralatan digital untuk bergerak ke arah masa depan yang yang lebih saksama dan inklusif.

"Dalam usaha mendorong negara ke arah matlamat yang telah kita tetapkan, Kementerian Pendidikan Tinggi komited memupuk perkongsian awam-swasta dalam latihan kemahiran, memastikan tenaga kerja kita dilengkapi untuk berkembang maju dalam pasaran kerja yang berubah dengan pantas," katanya dalam ucaptama pada Majlis Penyampaian Anugerah bagi Pertandingan ICT Huawei 2024-2025 di sini malam ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.

Zambry berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menekankan kepentingan menyelaras pendidikan dengan keperluan industri, meletakkan tumpuan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama pembaharuan.

Beliau berkata kerajaan komited untuk melengkapkan para pelajar dengan peralatan dan kemahiran penting yang diperlukan dalam mengharungi kerumitan ekonomi masa depan.

Zambry berkata dengan memperkenal pendidikan ICT lebih awal, para pelajar mampu mengembangkan kemahiran penting untuk menyediakan mereka dalam mendepani tuntutan tenaga kerja yang dipacu oleh teknologi.

Mengenai Pertandingan ICT Huawei, beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja membina kemahiran tetapi juga membentuk masa depan dan mewujudkan peluang untuk akses yang sama kepada pembelajaran dan perkembangan.

Zambry berkata Huawei Malaysia juga memiliki Akademi Huawei ASEAN dan Akademi ICT Huawei yang bukan sahaja membolehkan pelajar meningkatkan kemahiran ICT tetapi juga menyediakan mereka untuk mendepani tuntutan industri yang semakin berkembang.

Beliau juga berkata Malaysia mempunyai rancangan besar untuk menjadi Ibu Kota Digital ASEAN menjelang 2030 dan membina kumpulan bakat yang kukuh adalah nadi visi ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan