AM

Kerajaan MADANI Berada Pada Landasan Betul Dengan Dasar Yang Jelas - TPM

04/12/2024 12:57 AM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan MADANI berada pada landasan yang betul dalam mentadbir negara dengan dasar yang jelas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata dalam tempoh dua tahun pentadbiran kerajaan MADANI, Malaysia tersohor di seluruh dunia dengan pelbagai perubahan dari segi pelaburan, industri, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta aspek lain yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita dapat lihat tiada satupun kumpulan yang terpinggir. Di samping itu, untuk tiga tahun mendatang, kita mesti lihat sama ada petunjuk prestasi utama kita tercapai.

"Tidak ada satupun yang tidak boleh diukur dan pengukurannya ialah pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti. Beri peluang sekali lagi kepada Kerajaan MADANI," katanya ketika ditemu bual dalam Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Dua Tahun MADANI Bersama Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan pengacara Datuk Sherkawi Jirim sama ada Kerajaan MADANI berada pada landasan yang betul dan berjaya memberi kepuasan kepada seluruh rakyat termasuk mereka yang menganggap pentadbiran kerajaan ini tidak akan bertahan lama.

Ahmad Zahid berkata negara tidak seharusnya mengambil iktibar daripada pengalaman pahit pertukaran kerajaan pusat sebanyak tiga kali pada penggal lepas yang menyebabkan ekonomi negara, kadar tukaran ringgit, pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik merudum.

"Sangat terkesan apabila berlaku COVID-19 dan rezab kerajaan terpaksa dikeluarkan, begitu juga Petronas terpaksa memberikan rezab tiga kali ganda kepada kerajaan ketika itu.

"Akibatnya, kini Petronas tiada dana yang cukup untuk membuat eksplorasi di kawasan baharu di negara tertentu yang menawarkan eksplorasi kepada Petronas dan Petronas terpaksa meminjam ketika ini," katanya.

Beliau juga berkata banyak perubahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri walaupun mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

"Jika sesuatu produk baharu dihamparkan kepada masyarakat, pasti ada 22 peratus tidak akan suka tetapi kita ada lagi 78 peratus, (jadi) kita laksanakan," katanya sambil menambah kerajaan menjadikan kritikan yang diterima sebagai panduan untuk melakukan perubahan.

Menyentuh mengenai UMNO, Ahmad Zahid yang juga Presiden parti itu berkata ia terbuka untuk menerima kembali pemimpin atau ahli yang pernah digantung keahlian kerana mengkritik parti.

"Saya demokratik dalam perkara ini, hentamlah saya secara peribadi, saya maafkan tetapi jangan hentam parti sendiri. Saya tidak boleh terima.

"Mana yang telah bertaubat, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) buat keputusan buka pintu dan kita tidak tutup pintu," katanya sambil menambah UMNO sentiasa memantau mereka yang membantu ketika pilihan raya atau hadir dalam majlis parti.

Baru-Baru ini, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan bahawa MKT menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan