AM

513 Kes Bunuh Diri Sejak 2019 Di Perak - Exco

04/12/2024 02:07 PM

IPOH, 4 Dis (Bernama) -- Sebanyak 513 kes bunuh diri direkodkan di Perak sejak 2019 sehingga September tahun ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri A.Sivanesan berkata jumlah itu termasuk 94 kes dari Januari hingga September tahun ini.

“Kesihatan mental juga boleh dikaitkan dengan kes bunuh diri, pada 2019, terdapat 42 kes, pada 2020 ia bertambah kepada 56 orang, 2021 (112), 2022 (111) dan pada 2023 terdapat 98 kes, ini adalah sumber data daripada Polis Diraja Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan DUN di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan V. Bavani (PH-Malim Nawar) yang mahu tahu statistik individu yang telah mendaftar dan mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan mental di klinik kesihatan di negeri ini bagi tahun 2022 dan 2023.

Sivanesan berkata terdapat seramai 4,729 pesakit pada 2022 dan 4,988 pesakit pada 2023 yang telah menerima rawatan berkaitan kesihatan mental di klinik kesihatan seluruh Perak.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha untuk menambah bilangan kaunselor di peringkat kementerian dan negeri.

“Sehingga November tahun ini seramai 24 orang pegawai psikologi berkhidmat di fasiliti kesihatan di negeri Perak,” katanya.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak katanya komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesihatan mental dan kempen mengurangkan stigma terhadap isu berkenaan.

Ini katanya termasuk mengadakan kempen dan advokasi kesihatan mental yang diadakan secara berterusan di pelbagai peringkat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan