AM

Fahmi Terima Memorandum Berkaitan PPPA

04/12/2024 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini menerima memorandum daripada gerakan gabungan tiga organisasi media yang tidak bersetuju dengan cadangan pindaan beberapa akta khususnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Fahmi berkata walaupun PPPA di bawah kementerian lain, namun selaku Menteri Komunikasi, beliau akan membawa isu berkenaan kepada perhatian jemaah Menteri.

“Yang penting kita mahu suasana yang positif bagi media untuk terus beroperasi dengan baik di samping menjaga hak dan kebebasan media... suara rakyat amnya,” katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum tersebut.

Memorandum itu diserahkan kepada Fahmi dan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Tunku Nashrul Tunku Abaidah oleh sekretariat Fourth for The Fourth (404) di persimpangan Jalan Parlimen berdekatan laluan masuk ke Bangunan Parlimen hari ini.

Kumpulan itu mewakili Gerakan Media Merdeka (GERAMM), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Centre of Independent Journalism (CIJ).

Sementara itu Fahmi berkata Kementerian Komunikasi sedang berusaha membawa Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia untuk dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Beliau berkata rang undang-undang tersebut akan membantu menguruskan hal ehwal media secara lebih terangkum.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan