AM

LTAT Salur RM782,800 Bantu Mangsa Banjir Seluruh Negara

04/12/2024 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kumpulan Syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyalurkan bantuan banjir bernilai RM782,800 bagi menyokong komuniti terjejas di seluruh negara.

LTAT dalam kenyataan memaklumkan dengan kerjasama GLIC/GLC Demi Rakyat & Negara (GDRN), kumpulan syarikat LTAT menyediakan bantuan keperluan asas melalui sinergi bersama Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO).

Kumpulan syarikat LTAT itu termasuk Pharmaniaga Berhad, Boustead Holdings Berhad, Boustead Plantations, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), Boustead Properties Berhad (BProp) and Affin Group Berhad (Affin). 

"Pharmaniaga mengedarkan lebih 24,000 pek ubat-ubatan penting termasuk vitamin dan suplemen di Terengganu dan Kelantan, manakala Boustead Plantations menyumbang RM50,000 kepada NGO di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pahang.

“Boustead Holdings Berhad, BProp dan BHIC menyumbang RM27,500 kepada NGO di Kelantan. BHPetrol membekalkan 400 pek barangan keperluan asas ke pusat pemindahan melalui Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia di Kelantan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Affin menawarkan Natural Disaster Relief Programme (NDRP) untuk membantu pelanggan terjejas banjir melalui bantuan kewangan untuk pelbagai pinjaman dan produk kewangan, termasuk permohonan moratorium hingga enam bulan, tertakluk kepada terma dan syarat. 

Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi dalam kenyataan sama berkata LTAT kekal proaktif dalam usaha untuk bekerjasama dengan rakan strategik bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terjejas.

“Fokus utama kami adalah memberikan sokongan segera kepada keluarga, khususnya anggota ATM dan veteran yang memainkan peranan penting dalam respons bencana. 

“Kami berharap usaha ini dapat memberikan kemudahan serta bantuan yang diperlukan semasa mereka menghadapi cabaran musim hujan. Kami juga bersimpati terhadap semua mangsa yang terjejas akibat banjir dan berdiri teguh bersama mereka yang kini dalam usaha untuk membina semula kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata LTAT turut menghargai pengorbanan dan dedikasi tidak berbelah bahagi barisan hadapan, sukarelawan, serta pasukan sokongan khususnya anggota ATM yang memberikan impak besar kepada kehidupan mereka yang memerlukan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan