AM

Festival Futureland Warner Music Malaysia, Watsons Malaysia Tarik 20,000 Pengunjung

04/12/2024 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Festival Futureland yang julung kali diadakan menarik kehadiran hampir 20,000 pengunjung, menetapkan standard baharu untuk acara hiburan secara langsung dengan meraikan muzik Malaysia dan kreativiti sambil menghubungkan peminat melalui persembahan bertenaga dan pengalaman unik.

Diadakan di Stadium Merdeka yang bersejarah pada 23 Nov lepas, Festival Futureland yang dianjurkan oleh Warner Music Malaysia dengan kerjasama Watsons Malaysia mengubah lokasi ikonik itu yang dibangunkan semula, menjadi pusat persembahan muzik secara langsung yang meriah.

Festival itu menampilkan barisan artis terkenal dan pendatang baharu, menjadi platform dinamik untuk bakat tempatan, menghimpunkan pengunjung daripada pelbagai latar belakang dan berkongsi penghargaan terhadap muzik, budaya dan komuniti.

Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura Dinesh Ratnam dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya teruja melancarkan Festival Futureland sulung di Stadium Merdeka yang ikonik, bersama-sama Watsons Malaysia, ketika meraikan ulang tahun ke-30.

"Sambutan memberangsangkan terhadap festival ini ialah bukti kepada kuasa muzik dalam menyatukan orang ramai. Kami amat berterima kasih kepada Watsons Malaysia, penaja lain – Perfume Paradise sebagai rakan minyak wangi rasmi, Yes 5G sebagai rakan syarikat telekomunikasi rasmi – dan semua rakan kongsi atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka.

"Kepada semua peminat, terima kasih kerana memberikan tenaga luar biasa dan menjadikan acara ini sukar dilupakan. Festival ini memberi peluang kepada bakat baharu berkongsi pentas dengan artis terbaik Malaysia, mencipta detik bersejarah yang sebenar. Susulan kejayaan Futureland, kami sedang mempertimbangkan untuk menjadikannya acara tahunan," katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada peminat atas semangat dan sokongan mereka, serta Stadium Merdeka kerana menjadi latar sempurna untuk festival ini, meraikan kekayaan muzik Malaysia dan hubungan istimewa antara artis dengan peminat.

Festival Futureland kini menjadi acara penting dalam kalendar hiburan Malaysia, justeru Warner Music Malaysia berhasrat meneruskan misi untuk meraikan dan mengangkat bakat tempatan ke pentas global.

Pengarah Urusan Watsons Malaysia dan Ketua Pegawai Operasi Kesihatan dan Kecantikan Asia, A.S.  Kumpulan Watson Caryn Loh berkata Futureland ialah kaedah mengucapkan "terima kasih" kepada ahli dan pelanggan bersempena dengan ulang tahun ke-30 syarikat berkenaan.

"Acara ini menggabungkan muzik, budaya dan pengalaman kesihatan dan kecantikan Watsons dalam satu malam epik. Kami teruja untuk terus memberi inspirasi dan menggembirakan rakyat Malaysia untuk kelihatan hebat, berbuat baik dan berasa bagus, untuk tahun-tahun akan datang," katanya dalam kenyataan sama.

Artis seperti Hujan, Masdo, Aina Abdul, Bunkface, Ayda Jebat, Amsyar Leee, empty page., FUGŌ, Hael Husaini, Fimie Don, Nadeera, Rizal Rasid, Syamel, TUJU, Wani Kayrie dan Zynakal tampil membuat persembahan, mempamerkan kehebatan bakat masing-masing dalam persada muzik Malaysia.

Persembahan terakhir disempurnakan oleh kumpulan Hujan pada festival selama 10 jam dengan penyampaian bertenaga yang memukau penonton, mengabadikan semangat Futureland.

Aina Abdul, antara artis terkemuka Malaysia, membuat penampilan sulung pada festival itu sekali gus mencuri tumpuan penonton dengan vokal mempesonakan, meraikan detik bersejarah buat penyanyi itu dan acara berkenaan.

Selain persembahan pentas, festival itu turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung, seperti The Watsons Glow Up Zone yang menampilkan reruai kecantikan dan kesihatan, menawarkan sampel dan cenderamata eksklusif serta pengalaman menarik.

Suasana dimeriahkan lagi dengan pelbagai gerai makanan, kedai pop-up dan aktiviti jalanan interaktif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan