KOTA KINABALU, 5 Dis (Bernama) -- Gempa bumi lemah bermagnitud 2.7 pada skala Richter dikesan berlaku di sekitar Tawau pada 4.54 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan pusat gempa itu terletak 4.5 darjah utara dan 118.1 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer (km), iaitu sekitar 17km dari pusat bandar Tawau.
“Gegaran dirasai di sekitar Tawau,” menurut kenyataan itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi berkata tiada kejadian tidak diingini berlaku akibat gempa bumi itu.
Sementara itu di Tawau, seorang peniaga Anna Benjamin, 63, berkata gegaran dapat dirasai oleh dia sekeluarga yang berada di kawasan Tanjung Batu Laut, ketika waktu subuh tadi.
"Tidak lama (bergegar) dalam lima saat begitu. Tiada apa-apa yang rosak bila saya dan keluarga periksa. Doakan kami semua di Tawau selamat," katanya.
Pemilik kedai makan Asmah Anit, 48, berkata dia dapat merasakan gegaran itu kira-kira lima saat di rumahnya di Taman Ria Height.
"Rumah saya atas bukit, ada rasa macam kena goncang jugalah pada subuh tadi. Anak saya pun ada rasa juga," katanya.
Pekerja am Mohd Izhan Hassan, 32, berkata dia merasakan gegaran kira-kira dua hingga tiga saat ketika berada di kawasan Kolej Vokasional Tawau pada waktu sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial