AM

AKPS Dijangka Ambil Alih Operasi Di Pintu Masuk Negara Mulai Januari 2026

05/12/2024 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dijangka akan mengambil alih keseluruhan operasi di 114 pintu masuk negara pada Januari 2026, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pengoperasian AKPS yang akan bermula 1 Feb 2025, melibatkan 22 pintu masuk dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Kelantan sebagai lokasi operasi rintis.

“AKPS dijangka untuk mengambil alih operasi seluruh pintu masuk aktif negara iaitu sebanyak 114 pada Januari 2026. Kita masih lagi dalam proses untuk meningkatkan dari segi perjawatan.

“AKPS adalah agensi kawalan barisan hadapan pintu-pintu sempadan negara dan pelabuhan, yang bertanggungjawab untuk penugasan kawalan dan pemeriksaan secara bersepadu di pintu masuk darat, laut dan udara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu jumlah petugas AKPS dan kekuatan aset serta lokasi penugasan agensi berkenaan, selain statistik pemerdagangan orang melibatkan mangsa rakyat Malaysia.

Shamsul Anuar berkata bagi kes pemerdagangan orang sebanyak 479 kes dengan 911 tangkapan direkodkan bagi tempoh 2021 hingga Ogos 2024.

Menjawab soalan asal Takiyuddin berhubung langkah kerajaan dalam menangani isu keselamatan sempadan Malaysia-Thailand bagi membanteras kegiatan pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, senjata api dan barang bersubsidi, beliau berkata Op Taring Wawasan dilaksanakan secara berterusan di kawasan sempadan Kedah, Perlis dan Kelantan.

“Dari 2023 hingga 30 Sept 2024, Op Taring Wawasan merekodkan 3,031 kes dan 4,216 tangkapan dengan nilai rampasan RM346.85 juta, yang melibatkan kesalahan berkaitan penyeludupan dadah, rokok, minuman beralkohol, petrol, diesel dan pendatang tanpa izin,” katanya.

Dalam usaha pemantapan kerjasama serantau, Shamsul Anuar berkata ia tertumpu kepada peningkatan pengumpulan dan perkongsian maklumat risikan sempadan antara negara jiran, dan mengeratkan hubungan dua hala dalam menangani permasalahan di sempadan menerusi mesyuarat dua hala.

Selain itu, beliau berkata terdapat mekanisme pengurusan keselamatan sempadan darat negara di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui platform jawatankuasa dua hala seperti General Border Committee (GBC) dan High Level Committee (HLC) antara Malaysia-Thailand.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan