AM

Pelanggaran Undang-undang Antara Punca Bekalan Air Terjejas Di Selangor Pada Julai

05/12/2024 03:57 PM

CYBERJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Pelanggaran undang-undang melibatkan lesen perniagaan dan pembinaan culvert atau pembetung dikenal pasti sebagai faktor utama insiden gangguan bekalan air akibat pencemaran air di Sungai Kuang, Selangor yang berlaku pada 22 Julai lepas.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago berkata perkara itu ialah  penemuan Jawatankuasa Khas (JKK) SPAN yang menjalankan siasatan berhubung insiden gangguan bekalan air tidak berjadual kira-kira di 1,141 kawasan.

Beliau berkata penemuan merumuskan bahawa penyewa utama premis yang mempunyai lesen perniagaan sah telah membenarkan penyewa sub mengguna pakai lesen terbabit tanpa pengetahuan pihak berkuasa tempatan (PBT) .

“Berdasarkan Laporan Penilaian Kesan Awal Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA), penyewa utama premis yang mendapat kelulusan laporan EIA telah membenarkan penyewa sub mengguna pakai laporan itu tanpa pengetahuan atau kebenaran Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Mengenai pembinaan culvert, tiada maklumat daripada pelan yang diluluskan oleh PBT berhubung pembinaan culvert dalam premis yang bersebelahan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Insiden gangguan bekalan air berpunca pencemaran air di Sungai Kuang pada 22 Julai itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada 1,124,781 akaun pengguna.

Pengoperasian empat loji rawatan air (LRA), iaitu LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP 3) terpaksa dihentikan tugas secara sementara oleh operator air pada 23 Julai.

Media sebelum ini melaporkan pencemaran air mentah itu adalah disebabkan oleh kebocoran bahan kimia yang dikenali sebagai Poly (methacrylic acid) (PMAA) berlaku di Sungai Kuang. 

Sehubungan dengan itu, Charles berkata SPAN mencadangkan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas melibatkan pemeriksaan di premis secara fizikal hendaklah dilakukan bagi setiap permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan.

“Pemeriksaan bersasar dilakukan secara berkala oleh JAS berhubung kelulusan Laporan EIA manakala kawalan pelepasan sisa ke dalam sungai perlu diperketat,” katanya.

Beliau berkata setiap agensi hendaklah memastikan perkongsian maklumat secara masa nyata dan kerjasama secara langsung antara agensi dilaksanakan tanpa mengira kod tahap kes pencemaran yang diaktifkan.

Charles berkata pengawasan dan tindakan juga perlu lebih ketat terhadap pemegang Approved Permit (AP) bagi mengelakkan penyalahgunaan lesen termasuklah perbuatan menjual dan memberi sewa atau sub lesen terbabit kepada pihak ketiga termasuk warga asing.

“SPAN memohon supaya kerajaan negeri menjalankan pemeriksaan ke setiap kilang atau premis perniagaan yang berasaskan kitar semula sisa plastik khususnya di kawasan yang terlibat dan amnya di semua kawasan yang berisiko tinggi,” katanya.

Berdasarkan laporan JKK SPAN setebal 67 muka surat yang dikeluarkan hari ini, SPAN turut mendedahkan kemungkinan berlaku aktiviti pengubahan wang haram dalam insiden berkenaan.

Syarikat terlibat insiden ialah sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang warganergara China sebagai pengarah dan juga pemegang saham tunggal bagi syarikat itu. 

JKK SPAN musykil bahawa syarikat berstatus sebegitu boleh menjalankan transaksi kewangan yang dikawal ketat di dalam negara ini terutamanya jika melibatkan perniagaan warganegara asing, menurut laporan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan