PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Waktu kerja, hari bekerja dan tempat bekerja fleksibel, adalah antara bentuk Aturan Kerja Fleksibel (AKF) yang boleh dilaksanakan oleh majikan mengikut Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955.
Ia merangkumi keanjalan waktu bekerja iaitu pekerja diberi fleksibiliti untuk memilih waktu kerja atau waktu rehat tertakluk kepada jumlah jam bekerja sehari atau seminggu, seperti yang ditetapkan majikan.
Susulan itu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kolaborasi rakan strategik hari ini melancarkan satu garis panduan AKF bagi memperkasakan pekerja dan mengoptimumkan sumber manusia serta kos pengoperasian syarikat.
KESUMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan garis panduan AKF bertindak sebagai mekanisme pelaksanaan AKF kerana mengandungi semua elemen penting yang perlu diketahui oleh pekerja dan majikan.
“Ini termasuk takrifan AKF, kaedah pelaksanaan, tatacara permohonan, tanggungjawab pekerja dan majikan dalam melaksanakan AKF,” kata kementerian itu.
KESUMA menerusi kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Talent Corporation Malaysia Bhd akan terus memberikan bimbingan dan tunjuk ajar mengenai pelaksanaan AKF kepada golongan sasar, dan diyakini ia akan menjayakan usaha membudayakan AKF dalam semua lapangan dan bentuk pekerjaan.
Garis panduan itu boleh didapati menerusi https://www.talentcorp.com.my/images/uploads/publication/189/Garis-Panduan-Aturan-Kerja-Fleksibel-1727933735.pdf.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial