KUANTAN, 5 Dis (Bernama) -- Pahang berhasrat menjadi hab pemasangan dan pembuatan kenderaan elektrik (EV) di sebelah Pantai Timur, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohamad Nizar Najib.
Beliau berkata statistik terkini daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan peningkatan dramatik dalam jualan EV dan pada separuh pertama 2024, iaitu sebanyak 10,663 kereta elektrik telah dijual dua kali ganda berbanding 4,409 EV yang dijual dalam tempoh sama pada 2023.
"Lonjakan dalam penggunaan EV ini menandakan peralihan yang jelas dalam pasaran automotif. Malah, negeri sebelah Pantai Barat seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka telah menjadi pilihan pengeluar kenderaan elektrik untuk membina kilang pemasangan dan pembuatan kerana faktor logistik.
"Kita juga ingin menyaksikan Pahang menjadi hab pemasangan dan pembuatan kenderaan elektrik di sebelah Pantai Timur, jika faktor logistik merupakan kriteria utama, maka kita akan memperkasakan promosi jaringan logistik dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan," katanya.
Beliau berkata demikikan ketika menggulung perbahasan Belanjawan Pahang 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Selain itu, Mohamad Nizar memaklumkan tahun ini menyaksikan kerjasama antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang dan Volt Industries membangunkan 50 stesen pengecas EV di seluruh Pahang dengan anggaran pelaburan sebanyak RM250 juta.
Beliau berkata daerah Bentong dipilih sebagai daerah perintis dengan pembinaan stesen pengecas yang pertama daripada 12 stesen yang akan dibangunkan di daerah itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang berkata jumlah beras tempatan yang dihasilkan Pahang adalah sebanyak 14,000 tan metrik setahun dan tidak mencukupi mengikut jumlah penduduk di negeri ini.
"Beras yang mencukupi bagi penduduk Pahang adalah dalam 130,000 tan metrik, ini belum lagi dicampur dengan pekerja asing yang bekerja di sini," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi menampung perbezaan jumlah beras yang dihasilkan, kerajaan telah mengambil pendekatan untuk mengimport sebanyak 45 peratus beras diperlukan berbanding 55 peratus jumlah sedia ada dan dipasarkan oleh pengeluar di negara ini.
Menyentuh mengenai isu beras tempatan yang dikatakan beras import, Sim berkata melalui pemeriksaan rutin yang dijalankan dari semasa ke semasa terhadap rantaian industri padi dan beras, didapati tiada isu berkenaan berlaku.
"Sekiranya sesiapa mengetahui aktiviti sedemikian sila lapor kepada kawal selia padi beras untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, Akta 522," katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan bilangan Program Jualan Rahmah MADANI di Pahang setakat ini adalah sebanyak 433 program dengan 156 lokasi dilaksanakan di dalam premis, di luar premis (33) dan secara bergerak (244).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial