AM

Usahawan MARA Diseru Manfaatkan Platform Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN 2025

05/12/2024 11:03 PM

PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diseru memanfaatkan platform Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bagi mengetengahkan dan mempromosikan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata persediaan ke arah usaha ini perlu dimulakan dari sekarang dengan meningkatkan produktiviti masing-masing.

“Malaysia akan jadi Pengerusi ASEAN tahun hadapan. Saya mengajak saudara saudari untuk mempamerkan produk kita ke Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) + China yang dijadualkan pertengahan tahun hadapan.

“Saya juga mahu usahawan kelahiran MARA, terutamanya usahawan wanita, memanfaatkan Sidang Kemuncak Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS)@ ASEAN yang akan diadakan di negara kita, ” katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2023/2024 di sini hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Melihat kepada kejayaan dan kompetensi usahawan MARA, Ahmad Zahid menyatakan hasrat untuk membawa rombongan usahawan ke MIHAS di Shanghai pada tahun hadapan.

“MARA mempunyai Program Gate to Global (GTG). Apa maknanya bagi kita? Ia bermakna MARA bukan sekadar menjadi jaguh di kampung halaman, tetapi turut muncul sebagai juara negara dan dunia, mewakili usahawan Bumiputera,” katanya.

Beliau turut mengimbau lawatan rasminya ke Dubai baru-baru ini dan meluahkan rasa bangga apabila 15 usahawan bimbingan MARA yang menyertai MIHAS Dubai berjaya mencatat jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM137 juta.

“Rentetan kejayaan demi kejayaan ini, kerajaan tidak ada langsung kesangsian untuk terus menyokong peranan MARA dalam pembangunan dan pemerkasaan usahawan Bumiputera, menerusi peruntukan bajet berjumlah RM485 juta bagi tahun 2025,” katanya.

Dalam Belanjawan 2024, MARA telah menerima peruntukan sebanyak RM481 juta untuk melaksanakan program pembangunan usahawan, termasuk latihan keusahawanan, geran, penyediaan premis perniagaan, dan kemudahan pembiayaan perniagaan.

Beliau turut mencadangkan beberapa langkah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan perniagaan kekal berdaya tahan dan relevan dalam menghadapi cabaran semasa.

Antara langkah yang disarankan termasuk meningkatkan kecekapan digital dengan mengadaptasi teknologi seperti e-dagang, pemasaran melalui media sosial, dan penggunaan perisian pengurusan perniagaan. Selain itu, perniagaan juga disarankan untuk mendiversifikasi produk dan perkhidmatan, mengurus kewangan secara bijak, serta meningkatkan kemahiran dan pengetahuan.

AURA dianjurkan secara dwitahunan bagi meraikan kecemerlangan usahawan Bumiputera dalam pelbagai sektor.

Anugerah Tokoh Usahawan MARA dirangkul oleh Bateriku (M) Sdn Bhd, Anugerah Jenama Terbaik diberikan kepada (Rizman Ruzaini Creations (M) Sdn Bhd) dan Anugerah Usahawan Program Khas MARA dirangkul oleh FA Medical Sdn Bhd.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan