AM

Kerajaan Belanja RM1.02 Bilion Baik Pulih, Bina Rumah Baharu Dalam Tempoh Dua Tahun - Nga

06/12/2024 02:29 PM

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Kerajaan telah membaik pulih dan membina baharu 34,470 unit rumah dalam tempoh dua tahun dengan jumlah peruntukan RM1.02 bilion, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata daripada jumlah itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membaik pulih 4,814 unit rumah dan membina 245 unit rumah baharu dengan jumlah peruntukan RM104.4 juta.

Menurut Nga, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah melaksanakan baik pulih bagi 23,458 unit rumah dan bina baharu 5,953 unit rumah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM920.4 juta sejak tahun lepas.

"Ini menunjukkan komitmen kerajaan MADANI dalam meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya untuk golongan miskin dan miskin tegar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata KPKT melalui PLANMalaysia telah mengambil tindakan proaktif untuk memperkasakan komuniti desa melalui Sistem Ciri-Ciri Spatial Desa Malaysia (S-CHARMs) dengan sejumlah 19,474 maklumat sempadan dan profil kampung dicerap.

Nga berkata S-CHARMs diintegrasikan dengan Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional di bawah seliaan KKDW untuk meningkatkan aktiviti perancangan dan pembangunan dalam penyediaan kemudahan awam dan infrastruktur di kawasan kampung.

"S-CHARMs mampu mempercepatkan pelaksanaan projek kemudahan dan infrastruktur asas serta membolehkan perancangan pembangunan kawasan desa berpandukan data sebenar," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan