AM

PM Anwar Arah MyDigital ID, DNB Segera Selesai Kelewatan Pelaksanaan Inisiatif - Fahmi

06/12/2024 06:40 PM

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh sehingga pertengahan bulan ini kepada MyDigital ID dan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk menyelesaikan kelewatan dalam pelaksanaan dua inisiatif digital negara - MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri menganggap pelaksanaan MyDigital ID masih lewat kerana sehingga semalam, hanya 1.319 juta rakyat Malaysia telah mendaftarkan diri dalam pangkalan data tersebut.

Sehubungan itu beliau berkata Anwar memberikan tempoh dua minggu kepada pihak berkenaan untuk membuat perancangan mengenai langkah yang perlu ambil bagi meningkatkan pendaftaran.

Bagi pelaksanaan rangkaian 5G kedua pula, Fahmi berkata DNB yang merupakan syarikat kenderaan khas di bawah Kementerian Digital, diberi masa sehingga minggu depan untuk mengemukakan perancangan perniagaan baharu bagi pelaksanaan rangkaian tersebut.

"Sebelum ini (berlaku) kelewatan (dalam memuktamadkan) Perjanjian Pegangan Saham ataupun shareholding agreement. Ini menyaksikan kelewatan (proses) dibuka tender bagi rangkaian kedua," katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi hari ini.

Fahmi berkata kelewatan itu menyebabkan DNB, yang merupakan pengendali rangkaian 5G pertama, dan syarikat telekomunikasi yang dipilih untuk kendali rangkaian kedua iaitu U Mobile, mengalami kelewatan dalam menyediakan perancangan perniagaan baharu bagi rangkaian masing-masing.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata U Mobile telah membentangkan perancangan perniagaannya pada awal minggu ini, manakala DNB masih belum berbuat demikian.

"Mereka (DNB) memohon sehingga Januari (untuk kemukakan perancangan perniagaan), tetapi Perdana Menteri minta supaya diberikan pada bulan ini juga," katanya.

Semalam Anwar meluahkan rasa kesal dengan kelewatan pelaksanaan dua inisiatif digital negara tersebut.

Beliau dilapor turut menyuarakan perkara berkenaan ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) pada Rabu.

Mengulas perkara itu Fahmi berkata Perdana Menteri bagaimanapun memohon maaf kerana terlalu 'keras' dalam menyuarakan kekesalannya yang disifatkan sebagai 'out of character'.

"Puncanya adalah beliau merasakan bahawa kedua-dua inisiatif ini seharusnya bergerak dengan lebih pantas dan beliau memohon maaf dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan dan beliau juga memohon maaf sekali lagi dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini," katanya.

MyDigital ID ialah satu inisiatif kerajaan bagi pengesahan identiti secara selamat dan sah untuk pengguna dalam talian yang dibangunkan sejak 2016.

Rangkaian 5G kedua pula merujuk kepada infrastruktur 5G tambahan yang melengkapi model Rangkaian Borong Tunggal sedia ada yang disediakan oleh DNB, bertujuan merapatkan jurang digital dan memacu infrastruktur digital yang lebih baik di kawasan kurang mendapat perkhidmatan di luar bandar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan