KAPIT, 6 Dis (Bernama) -- Rakyat Sarawak perlu mengambil pengajaran daripada sejarah silam sebagai persediaan untuk mereka menghadapi cabaran besar pada era moden ini, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata daripada sejarah Sarawak, rakyat dapat belajar bahawa pertikaian sesama sendiri hanya akan membawa kepada kehancuran perhubungan dan tidak membawa sebarang manfaat kepada komuniti.
“Lebih kurang 100 tahun lampau, nenek moyang kita berdepan konflik antara suku kaum serta yang berkaitan dengan kepercayaan agama seperti pemburuan kepala, status sosial dan maruah, selain pertikaian wilayah dan sumber. Ini mengakibatkan situasi kacau-bilau dan keganasan yang tidak berkesudahan,” katanya.
Berucap di seminar antarabangsa sempena memperingati ulang tahun ke-100 Perjanjian Perdamaian Kapit di sini hari ini, beliau berkata keadaan itu berlarutan hinggalah usaha untuk mewujudkan perjanjian damai seperti yang berlaku di Kapit.
“Peristiwa ini merupakan detik penting dalam sejarah Sarawak, dengan menyatukan pemimpin dan pejuang daripada pelbagai kumpulan etnik termasuk Iban, Kayan, Kenyah dan Kajang dari Sarawak serta Kalimantan untuk secara rasmi menamatkan pemusuhan,” katanya.
Uggah berkata upacara perdamaian Kapit, yang melibatkan pertukaran simbolik dan ritual telah menjadi asas kepada keamanan serta membolehkan keharmonian sosial, pertumbuhan dan kemajuan ekonomi.
Beliau berkata hingga kini perpaduan kekal penting memandangkan Sarawak berdepan cabaran baharu termasuk perubahan iklim, kemajuan teknologi, sekuriti makanan dan jurang pendapatan.
“Amat bernasib baik apabila kita dapat belajar untuk hidup bersama secara aman dengan menolak kebencian dan perpecahan. Ini memberikan kita kekuatan, kebijaksanan dan keharmonian untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata dasar inklusif kerajaan Sarawak di bawah Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi peluang kepada setiap rakyat negeri menerusi pelbagai inisiatif seperti Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
Beliau menambah impian Sarawak terhadap ekonomi hijau dan kerjasama dengan pemain global seperti Jepun dan Korea Selatan dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui menuntut rakyatnya untuk terus bersatu bagi membolehkan negeri ini menjadi sebahagian deripada ekonomi dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial