IPOH, 7 Dis (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Hospital Fatimah di sini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani, Pengerusi Lembaga Pengarah Hospital Fatimah Datuk Michael Cheah dan Pengarah Perubatan hospital Dr Liaw Kok Toon.
Baginda turut berkenan melafazkan perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik meraikan sambutan tersebut.
Sultan Nazrin kemudian berkenan melawat pameran yang diadakan di hospital berkenaan.
Terdahulu, dalam sembah ucapannya, Michael berkata Hospital Fatimah dirasmikan oleh Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah pada 1974.
Beliau berkata selaras penubuhannya, hospital tersebut menawarkan lebih banyak jenis rawatan dan penjagaan perubatan.
"Kami juga telah mencapai Pensijilan ISO setiap tahun dari 1999 hingga 2022 tanpa gagal, dan menerima Anugerah Pensijilan MSQH secara berterusan dari 2006 hingga 2028," katanya.
Sementara itu, Dr Liaw berkata Hospital Fatimah menyediakan hampir 30 perkhidmatan kepakaran dan sub-kepakaran kesihatan, selain pelbagai perkhimatan pembedahan dan kemudahan perawatan kesihatan lain.
"Hospital ini dilengkapi dengan 236 buah katil dengan 641 orang staf dari pelbagai kategori. Ia juga dilengkapi dengan pelbagai aset perubatan terkini dan sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik," katanya.
Beliau berkata Hospital Fatimah telah menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada lebih ramai rakyat melalui program perkhidmatan 'outsourcing'.
Sehubungan itu, katanya hospital tersebut akan menyediakan perkhidmatan pengimejan resonans magnetik (MRI), imbasan tomografi berkomputer jantung (CT), dan ultrasound kepada pesakit hospital KKM dalam membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan serta mengurangkan masa menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial