KOTA BHARU, 7 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melakukan penambahbaikan pergerakan operasi dan memberi jaminan bahawa aset melibatkan darat, air serta udara mencukupi bagi menghadapi gelombang banjir seterusnya.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata untuk perkara itu, lebih 80,000 keanggotaan lain-lain agensi penyelamat terlibat dan daripada jumlah itu, 20,000 ialah anggota bomba dan penyelamat yang berada dalam keadaan siap siaga.
Beliau berkata bagi menghadapi gelombang banjir seterusnya, kementerian memberi fokus terhadap penyelamatan di Kelantan melibatkan kekuatan anggota dan logistik, iaitu 12 unit lori, 62 unit bot, sembilan unit van serta 46 unit kenderaan pacuan empat roda.
"Bagi pasukan gerak cepat, kami menugaskan sebanyak 28 anggota bersama sembilan unit kenderaan berat, enam unit bot dan lapan unit kenderaan pacuan empat roda," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Lawatan Turun Padang Negeri Kelantan di Bilik Gerakan Banjir di Ibu Pejabat Bomba Tunjong, di sini hari ini.
Aiman Athirah berkata pihaknya turut mengadakan kerjasama secara bersepadu dengan unit pengurusan bencana berpusat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kementerian Kesihatan.
"Pada masa yang sama, kita juga bersiap sedia menerima bantuan dari luar Kelantan. Selain kenderaan darat, kami menyediakan lima helikopter yang akan digerakkan sekiranya perlu bagi menyelamatkan mangsa termasuk membawa bekalan makanan," katanya.
Terdahulu dalam taklimat, pihaknya telah menjalankan bantuan pemindahan 502 pelajar yang terlibat dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2 Dis lepas menggunakan bot dan lori di sekitar Rantau Panjang di Pasir Mas serta Pengkalan Kubor di Tumpat.
Pemindahan itu melibatkan lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), iaitu BBP Pasir Mas, Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Wakaf Bharu dan Tumpat yang membawa pelajar dari lokasi kediaman serta pusat pemindahan sementara (PPS), seterusnya dihantar ke pusat peperiksaan masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial