AM

KPM SIAP SIAGA HADAPI GELOMBANG KEDUA BANJIR

07/12/2024 05:42 PM

PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir di tujuh negeri.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah di negeri terlibat banjir diarah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan terutamanya di kawasan berisiko tinggi. 

Menurut KPM semua jawatankuasa diminta melaksanakan tanggungjawab masing-masing berdasarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat siaran yang berkuat kuasa serta merujuk Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan KPM yang merangkumi tindakan perlu diambil sebelum, semasa dan selepas banjir.

Arahan tersebut melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan luruan angin sejuk atau luruan monsun yang berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir dijangka melanda negara mulai esok hingga 14 Dis ini.

Sementara itu, KPM turut memaklumkan prosedur operasi standard  Ops Payung telah diaktifkan bagi memastikan Ujian Amali Sains, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual pada 9, 10 dan 12 Dis berjalan lancar.

"KPM komited memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga KPM terpelihara dalam menghadapi bencana banjir," menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan