AM

BELAJAR SAMBIL BEKERJA TIDAK HALANG GRADUAN UTHM DAPAT KEPUTUSAN CEMERLANG

07/12/2024 06:35 PM

BATU PAHAT, 7 Dis (Bernama) -- Bekerja sebagai pembantu jualan secara sambilan tidak menghalang Nur Syafiqah Husna Zainul Arshad, 25, untuk menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke-24, di sini hari ini.

Nur Syafiqah Husna yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi) dengan Kepujian berkata beliau menggunakan prinsip tidak mahu membebankan orang tuanya, dengan mencari duit poket untuk menampung perbelanjaan ketika berada di universiti berkenaan.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata beliau mula bekerja secara sambilan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pekerjaan itu diteruskan hingga tamat pengajian baru-baru ini.

"Dalam keadaan ekonomi keluarga yang tidak menentu semasa PKP, saya membuat keputusan mencari duit sendiri untuk membayar yuran dan sara hidup, kerana ibu bapa saya tidak lagi bekerja (bersara).

"Ramai yang bertanya bagaimana saya membahagikan masa untuk belajar dan bekerja… Saya akan menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas dan mengulang kaji pada waktu malam," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Anak kepada pasangan Zainul Arshad Muhammad, 63, dan Fadzilah Salleh, 59, itu berkata beliau juga menyertai aktiviti kokurikulum secara aktif, dengan terlibat dalam program kesukarelawanan bagi menggalas jawatan setiausaha pada Majlis Anak Negeri Pulau Pinang.

"Setelah tamat pengajian di peringkat ijazah sarjana muda ini, saya merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan tentunya di UTHM," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) Chris Ng, 25, mengakui terkejut dan tidak menyangka menerima anugerah berkenaan kerana beliau agak aktif dengan kegiatan luar.

Ng yang memegang jawatankuasa tertinggi dalam Institusi Kejuruteraan Malaysia (Sektor Pelajar) berkata beliau menyertai aktiviti luar pada hujung minggu dan waktu cuti termasuk cuti semester.

"Saya menjadikan kehidupan sederhana keluarga kami, iaitu ibu dan bapa saya yang bekerja sebagai pekebun untuk saya belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan keputusan cemerlang.

"Saya mahu merubah kehidupan keluarga menjadi lebih baik dan kini, selain berjaya mendapatkan ijazah (Sarjana Muda Kejuruteraan Awam) saya juga dalam tahun kedua melanjutkan pengajian yang sama di peringkat sarjana," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan