AM

TASKA WAJIB PAMER NOMBOR PENDAFTARAN DI PREMIS TAHUN DEPAN - NANCY

08/12/2024 09:55 AM

KUCHING, 8 Dis (Bernama) -- Semua taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diwajibkan memaparkan plak nombor pendaftaran di premis masing-masing, berkuat kuasa 1 Jan tahun depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu diambil bagi memberikan keyakinan kepada ibu bapa terhadap status lesen taska yang menempatkan anak-anak mereka.

“Kementerian saya sering menerima soalan berhubung taska tidak berdaftar dan bagaimana cara mengenal pasti jika mereka tidak pernah memohon lesen daripada JKM.

“Mulai sekarang, semua taska diwajibkan menampal nombor pendaftaran di dinding premis supaya ibu bapa tahu taska tersebut berdaftar,” katanya dalam sesi sembang santai sempena Malam Media Sarawak, malam tadi.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara agenda utama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi  2025.

Nancy berkata agenda lain bagi tahun seterusnya termasuk menggerakkan inisiatif Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme serta pembangunan Pusat Perkhidmatan Autisme, masing-masing diperuntukkan RM15 juta dan RM5 juta.

“Perdana Menteri telah  mengumumkan perkara ini dalam Belanjawan 2025. Ia merupakan inisiatif baharu untuk menjaga kebajikan anak autisme dengan pendekatan lebih fokus melalui intervensi awal, tanpa meletakkan mereka bersama anak-anak bukan autisme,” katanya.

Nancy, yang juga Ahli Parlimen Santubong, turut memaklumkan sejumlah RM5.6 juta diperuntukkan bagi tahun ini untuk pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Parlimennya.

Menurutnya, peruntukan itu melibatkan projek pembinaan Jalan Perhubungan Desa (JPD) sebanyak RM3.17 juta, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM500,000, dan Projek Mesra Rakyat (PMR) berjumlah RM967,000.

-- BERNAMA



BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan