MERSING, 9 Dis (Bernama) -- Sebanyak empat sekolah di Pulau Tioman, Pahang menerima bot laju, bot optimist dan motosikal roda tiga melibatkan peruntukan keseluruhan RM654,000 bagi memudahkan akses kepada pelajar dan guru termasuk urusan kecemasan.
Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata inisiatif itu memanfaatkan 463 murid dan 72 guru membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tekek, SK Mukut, SK Juara dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat prihatin mengenai keperluan pendidikan inklusif mengikut lokaliti dalam memastikan sistem penyampaian pendidikan berkualiti, selaras dengan tujuh teras utama kementerian itu, Prakarsa Pendidikan Madani: Pendidikan Manusiawi.
"Hal ini dibuktikan dengan merealisasikan kemudahan pengangkutan dan keperluan pembangunan karakter murid di sekolah pesisir pantai khasnya di sekolah-sekolah pulau.
"Selain itu, inisiatif ini merupakan hasil daripada program Tindak Susul Parlimen Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) pada 5 hingga 6 Ogos lepas," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan kemudahan berkenaan di Aur Pesaka Jaya di sini hari ini.
Azman berkata kemudahan yang diserahkan terdiri daripada sebuah motosikal roda tiga bagi setiap sekolah, tiga bot optimist untuk setiap sekolah rendah dan dua bot laju untuk kegunaan sekolah-sekolah pulau di daerah Rompin, Pahang.
Beliau berkata kenderaan itu secara tidak langsung dapat mempermudah akses bagi guru, staf dan murid-murid yang mungkin menghadapi kesulitan dalam pengangkutan, menjadikannya lebih inklusif dan mesra bagi semua peringkat.
"Selain itu, kita tidak perlu lagi menyewa motosikal roda tiga daripada orang awam untuk urusan logistik seperti membawa peralatan, bahan mentah, dan keperluan lain dari jeti terminal di setiap kampung ke sekolah-sekolah pulau, " katanya.
Azman turut memaklumkan mengenai kejayaan murid-murid pulau itu pada peringkat Majlis Sukan Sekolah Pahang selain terdapat beberapa orang daripadanya yang mewakili negeri itu dalam sukan pelayaran di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
"Di atas keupayaan murid ini, KPM meluluskan permohonan membeli bot optimist bagi latihan atlet kita di Pulau Tioman, malahan Menteri Pendidikan ketika lawatan beliau tempoh hari menetapkan SK Juara menjadi salah satu hub sukan pelayaran di Pahang," katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Mukut Sakry Muhammad menyambut baik kemudahan itu yang disifatkan dapat menjimatkan masa dengan pergerakan pantas dan efisien di antara pulau bagi aktiviti pendidikan.
"Terima kasih KPM atas penyerahan sumbangan ini yang pastinya memberikan banyak manfaat memandangkan sebelum ini kita hanya pinjam bot itu dari Majlis Sukan Sekolah Pahang, oleh itu dengan adanya bot optimist ini, murid-murid dapat berlatih (sukan pelayaran) dengan jayanya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial