AM

SULTAN SELANGOR TITAH HAKIM SYARIE PEGANG PRINSIP KEADILAN KETIKA JALANKAN KUASA

10/12/2024 10:25 AM

SHAH ALAM, 9 Dis (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua hakim syarie supaya sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan menurut Islam ketika menjalankan kuasa kehakiman walaupun dipertikai segelintir pihak.

Baginda bertitah cubaan sesetengah pihak mempertikai bidang kuasa dan keputusan Mahkamah Syariah dengan membawa persoalan undang-undang untuk tafsiran Mahkamah Sivil, tidak boleh dijadikan alasan untuk berasa takut atau bimbang bagi memberikan penghakiman yang adil.

Sultan Sharafuddin bertitah perkara itu adalah selaras dengan firman Allah SWT yang menyeru kepada hakim yang dilantik supaya menjauhi kezaliman dan menegakkan keadilan seperti terkandung dalam surah al-Maidah ayat 42.

"Dalam kehakiman Islam, setiap keputusan yang dibuat oleh hakim syarie adalah berdasarkan kepada keterangan dikemukakan di mahkamah. Dalam penghakiman juga, hakim syarie hendaklah memastikan keputusan dibuat itu adalah adil dan menunjukkan hikmah kepada semua pihak," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Menyembahkan Air Doa Selamat dan Pengurniaan Watikah Pelantikan Orang Besar Istana, Anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Syariah Selangor, Anggota Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Pendaftar Kanan serta Pendaftar Wali Raja di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini. 

-- LAGI

 

SULTAN SELANGOR-HAKIM 2 (AKHIR) SHAH ALAM

 

Sultan Sharafuddin bertitah hakim syariah dipandu dengan undang-undang bertulis antaranya Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Pada masa sama, baginda menzahirkan harapan agar hakim syarie dapat memastikan supaya tidak berlaku kelewatan tidak munasabah ketika mengendali dan membuat sesuatu keputusan prosiding mahkamah kerana ia boleh menjejaskan hak serta kebajikan mereka yang terlibat.

Selain itu baginda bertitah hakim syarie juga perlu sentiasa peka dengan perkembangan undang-undang semasa khususnya berkaitan Perlembagaan Persekutuan yang ada bersangkutan dengan pentadbiran agama Islam negeri.  

"Beta ingin berpesan agar hakim syarie sentiasa bersedia dan melengkapkan diri dengan segala kemahiran perundangan dan hukum syarak untuk memperkasakan kehakiman Islam," titah baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan setiap pendaftar nikah, cerai dan rujuk orang Islam yang dilantik menjalankan amanah dalam menguruskan perkahwinan orang Islam supaya sentiasa mengamalkan integriti tinggi dan tidak terlibat sama sekali dalam aktiviti pernikahan sindiket yang semakin berleluasa ketika ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan