KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 (HNDP 2040) hampir selesai dengan proses kemajuan 95.11 peratus setakat ini berbanding jadual asal 92.10 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata HNDP 2040 yang menggantikan HNDP Fasa 2 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, menjadikan pembangunan ekonomi kekal sebagai agenda utama dalam merancang rangkaian jalan raya di wilayah berkenaan.
"Kesalinghubungan ditingkatkan menarik pelaburan luar yang mendorong pertumbuhan perniagaan dan industri baru serta memperbaiki akses penduduk kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penting lain, dapat meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang ingin tahu status terkini kajian HNDP 2040 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan serta impak pelaksanaan pelan itu dalam menambah baik rangkaian jalan raya di Sarawak termasuk dari segi kualiti, kesalinghubungan, keselamatan dan keselesaan pengguna.
Mengenai Sarawak, Ahmad berkata rangkaian jalan raya di negeri itu kelak akan memainkan peranan penting dalam mengurangkan kos pengangkutan, memudahkan pengeluar luar bandar untuk mengakses pasaran lebih besar seterusnya meningkatkan jualan serta pendapatan petani dan perniagaan tempatan.
Beliau berkata infrastruktur pengangkutan yang lebih baik juga mendorong pembangunan industri bukan pertanian seperti pembuatan dan runcit, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada sektor pertanian.
Menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai pelan bagi menangani isu jalan yang sering ditenggelami banjir, beliau berkata kerajaan mempunyai perancangan untuk menyelesaikan isu itu dengan kerjasama kementerian berkaitan.
"Saya memahami bahawa bagaimana jalan-jalan tertentu perlu ditinggikan arasnya supaya tidak tenggelam waktu banjir dan kita ada segala pemetaan itu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial