GEORGE TOWN, 10 Dis (Bernama) -- Satu kerangka kerja komunikasi, keselamatan dan tadbir urus dibangunkan untuk pembuatan pintar yang bertujuan mendukung transformasi digital sektor pembuatan negara termasuk perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam menuju era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).
Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata kerangka kerja itu direka khas untuk landskap industri pembuatan pintar di Pulau Pinang dan negara ini bagi memudahkan penerapan IR 4.0.
"Kerangka kerja ini bertujuan mendukung transformasi digital sektor pembuatan negara untuk pembuatan pintar bagi memastikan Pulau Pinang dapat menerajui agenda transformasi pembuatan pintar di Malaysia.
"Ini selaras dengan visi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Penang2030, yang menjadi pelan induk negeri untuk membina sebuah negeri hijau, pintar, dan mampan," katanya kepada pemberta selepas merasmikan program Jom Digital: Unlocking Smart Manufacturing Potential di sini hari ini.
Program itu menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar dan pemegang taruh utama memfokuskan kepada usaha kolaborasi, pendorongan inovasi dan peningkatan daya saing dalam sektor pembuatan Malaysia.
Zairil berkata kerangka kerja itu menekankan tiga elemen utama iaitu komunikasi, keselamatan dan tadbir urus.
Beliau berkata ia direka untuk fleksibiliti dan kebolehsuaian serta memberi kuasa kepada pengilang untuk menerima amalan Industri 4.0 tanpa mengira tahap digital semasa mereka.
"Kerangka kerja ini dijangka digunakan secara meluas di seluruh industri menjelang suku pertama 2025," katanya.
Beliau berkata sebagai hub utama untuk sektor pembuatan, Pulau Pinang dijangka terus menjadi contoh kepada negeri lain dalam memperkukuh kedudukannya di peringkat global menerusi kerangka kerja berkenaan.
"Dengan memanfaatkan kerjasama antara kerajaan, industri dan pemimpin teknologi, kita mampu mewujudkan ekosistem inovatif yang menyokong pertumbuhan industri dan ekonomi negara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial