AM

PROTUNE REKOD PENINGKATAN PENDAPATAN RM2.6 JUTA, PUPUK SEMANGAT KEUSAHAWANAN DALAM KALANGAN PELAJAR

10/12/2024 10:19 PM

SHAH ALAM, 10 Dis (Bernama) -- Program Tunas Niaga (PROTUNe) 2024 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merekodkan pendapatan lebih RM2.6 juta bagi separuh pertama tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 8.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS Yuzawati Yusof berkata program keusahawanan itu melibatkan 49 sekolah terpilih di Selangor membabitkan penyertaan seramai 1,250 pelajar yang menubuhkan 49 syarikat dengan melaksanakan modul fizikal PROTUNe dalam tempoh 10 bulan dan secara E-PROTUNe iaitu pembelajaran dalam talian.

Beliau berkata antara modul pembelajaran PROTUNe ialah penganjuran promosi jualan di Kompleks PKNS Shah Alam iaitu pada 2023 ia disekalikan dengan Karnival Usahawan PKNS (KUP) dengan penglibatan usahawan yang lebih dewasa dan berpengalaman di bawah program-program bermodul PKNS.

"Yang paling membanggakan, 31 reruai jualan PROTUNe telah menjana jumlah keseluruhan jualan sebanyak RM55,924.90 sepanjang tiga hari KUP berlangsung Ogos lalu, iaitu 12 peratus daripada keseluruhan nilai jualan KUP 2024 berjumlah RM464,823 yang melibatkan 123 reruai," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvensyen PROTUNe 2024 di sini hari ini yang turut dihadiri Exco, Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi. 

Yuzawati berkata sepanjang 26 tahun pelaksanaan, program PROTUNe setakat ini berjaya menubuhkan sebanyak 1,182 syarikat melibatkan 29,300 pelajar dengan dibimbing 2,442 guru.

"Syarikat PROTUNe yang ditubuhkan dari tahun 2009 hingga 2024 telah berjaya menghasilkan kutipan jualan sebanyak RM31.5 juta dan ia merupakan satu pencapaian membanggakan dalam usaha Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS mencungkil bakat usahawan muda di peringkat pelajar sekolah menengah," katanya.

Sementara itu, Mohd Najwan dalam ucapannya meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian pelajar dalam menceburi bidang keusahawanan dan menyeru mereka yang berminat untuk bersedia menerapkan fungsi kecerdasan buatan (AI) dalam mendepani cabaran semasa.

"Selepas ini mungkin AI akan masuk dalam bidang keusahawanan dan kita kena cepat untuk tangkap teknologi itu, jangan biar teknologi menguasai kita sebaliknya kita yang harus menguasai teknologi," katanya.

Terdahulu, majlis hari ini menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Abdullah dianugerahkan sebagai Sekolah Terbaik bagi PROTUNe 2024 menerusi syarikatnya Nakhoda Annazhofah Sdn Bhd. 

PROTUNe merupakan program anjuran PKNS dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPS), yang bermatlamat membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah Bumiputera dengan keutamaan kepada sekolah luar bandar. 

Menerusi PROTUNe, pelajar diberikan pendedahan, bimbingan dan latihan komprehensif untuk memulakan serta menguruskan perniagaan secara berkesan, dengan matlamat melahirkan usahawan yang berilmu dan berjaya sekali gus mampu menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Selangor.

- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan