SEREMBAN, 12 Dis (Bernama) -- Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan platform terbaik untuk generasi muda memperoleh kemahiran teknikal yang relevan sekali gus membuka peluang kerjaya lebih kompetitif dan berdaya saing.
Pelaksanaan TVET di Malaysia diterajui oleh 1,398 institusi kemahiran awam merentasi 12 kementerian, institusi kemahiran negeri dan institusi kemahiran swasta yang menawarkan pelbagai program dalam sesuatu bidang.
Selaras dengan permintaan yang semakin tinggi terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi, TVET telah menjadi pilihan utama kerjaya dalam menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi menerusi pelbagai program terutamanya Program Latihan TVET Belia Malaysia-China (MCYTT).
Pengasas Projek Belia Mahir Mohammad Rizan Hassan berkata TVET diakui sebagai platform signifikan dan strategik dalam membekalkan belia dengan kemahiran teknikal yang amat diperlukan oleh industri, seterusnya memberikan mereka kelebihan dalam pasaran pekerjaan.
“Pelajar Belia Mahir mengikuti program TVET ini berpeluang mengikuti latihan TVET ke China melalui MCYTT sekiranya memenuhi syarat kelayakan. Sejak 2023, sebanyak 376 pelajar di bawah program ini berjaya memasuki industri di 36 syarikat tempatan dan antarabangsa termasuk yang diterima bekerja di China.
“Kerjasama ini sejajar dengan hasrat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selaku Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET), yang mahu menjadikan TVET sebagai budaya dan gaya hidup, khususnya dalam kalangan generasi muda," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Pembangunan Belia Berkemahiran, Rasah Jaya, di sini.
Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di bawah program MYCTT itu turut membuka laluan pendidikan dan latihan TVET percuma di China sebagai sokongan kepada Malaysia dalam membangunkan bakat mahir tempatan.
Sebanyak 220 syarikat China menawarkan 5,125 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan TVET bagi jangka pendek, sederhana dan panjang sekali gus menjadi game changer dalam melonjakkan industri TVET di Malaysia. Kerajaan menyasarkan untuk menghantar lebih 5,000 pelajar TVET ke negara itu menjelang 2025.
Inisiatif ini jelas menunjukkan TVET menerapkan kepelbagaian set kemahiran khusus untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang kompeten berasaskan teknologi berkualiti serta memenuhi permintaan dalam pelbagai sektor industri seterusnya menawarkan pendapatan lumayan dan membentuk masa depan lebih baik.
Mohammad Rizan berkata selain Belia Mahir, terdapat 56 rakan strategik yang lain menawarkan program TVET di institusi kemahiran swasta bagi membantu golongan muda memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) iaitu Tahap 1, Tahap 2 dan Tahap 3, Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5.
Beliau berkata TVET bukan sahaja membuka peluang pekerjaan lebih meluas, malah mampu memenuhi keperluan pasaran kerja yang semakin mencabar, sekali gus memperkukuhkan ekonomi negara melalui tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing.
Dalam pada itu, Mohammad Rizan yang merupakan bekas pelajar Sekolah Henry Gurney berkata berpegang dengan keazaman dan tekad mahu berubah mendorongnya berjaya walaupun tidak memiliki sijil pendidikan di peringkat institusi pendidikan tinggi.
"Saya mengambil contoh diri saya sendiri, ketika usia 16 tahun saya telah dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney, menjalani perintah hukuman selama tiga tahun, dan dibebaskan pada usia awal 20-an. Saya tiada sebarang kelulusan sijil, sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Sepanjang berada dalam tahanan, saya memanfaatkan masa mempelajari ilmu kemahiran. Setelah dibebaskan, saya mendapat peluang bekerja di sebuah syarikat Jepun di Johor Bahru sebagai operator pengeluaran dan kemudian berbekalkan iltizam serta disiplin, saya ditawarkan mengikuti latihan kemahiran dan bekerja di Jepun untuk beberapa tahun,” katanya.
Sementara itu, pengajar Belia Mahir, R. Neshan, 28, berkata usaha kerajaan memartabatkan TVET adalah satu tindakan tepat kerana permintaan dalam dan luar negara terhadap kepenggunaan tenaga mahir ini sentiasa meningkat.
Neshan berpeluang mengikuti latihan TVET sebanyak dua kali di Yantai Vocational College di China, bagi mempelajari kemahiran pembuatan kenderaan elektrik (EV) yang kini mendapat sambutan tinggi.
"Bidang automotif disediakan dalam program TVET ini sangat bertepatan dengan perkembangan industri dunia sekarang ini yang amat memerlukan pekerja mahir, selain diberi peluang mendalami teknologi kecerdasan buatan (AI) di negara maju,” katanya yang berasal dari Melaka.
Bagi pelajar Nimrod Jezreel Ortiz Balellio, 19, berkata dia bertuah diberi peluang mengikuti program TVET dalam bidang automotif EV hampir dua minggu di China.
Remaja berasal dari Tawau, Sabah itu berkata menerusi pengalaman berharga itu dia dapat mengembangkan lagi potensi diri dalam bidang automotif dan akan dikongsikan bersama rakan-rakan di sini.
"Semasa di China, banyak yang kami pelajari, antaranya bagaimana cara mengendalikan pembaikan kereta. Kami diajar pelbagai teknik oleh pengajar profesional," kata anak ketiga daripada empat beradik itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial