SUKAN

KEMPEN PIALA ASEAN MALAYSIA DIUJI KECEDERAAN, GANGGUAN KELAB

12/12/2024 11:32 AM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih kebangsaan Pau Marti Vicente meluahkan kekecewaan terhadap isu dihadapi skuadnya pada permulaan kempen Piala ASEAN 2024, yang menyaksikan Harimau Malaya bergelut untuk memastikan kemenangan 3-2 menentang Timor-Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Di samping hampir pasti kehilangan tiga penyerang - Darren Lok, Muhammad Syafiq Ahmad dan Fergus Tierney - akibat kecederaan, pengendali dari Sepanyol itu mendedahkan 'gangguan' daripada kelab menimbulkan cabaran lain, ketika mereka bersiap sedia untuk perlawanan ketiga Kumpulan A menentang juara bertahan Thailand di Bangkok Sabtu ini.

“Sekurang-kurangnya tiga pemain cedera...Sukar bagi pemain untuk menumpukan aksi bersama pasukan kebangsaan apabila kelab meminta mereka pulang, dan kemudian lewat lapor diri (untuk kem latihan), saya fikir mereka sudah melakukan yang terbaik dalam situasi ini.

"Kita perlu lihat realiti, skuad kebangsaan sudah bermain dua perlawanan dan meraih empat mata dengan muncul pendahulu kumpulan serta berpeluang mara ke peringkat seterusnya. Ia bukan situasi terbaik, mana-mana pasukan yang bertandang ke Thailand pasti akan cuba sedaya upaya mendapatkan sesuatu di sana,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan berkenaan di sini malam tadi.

Sebelum ini, Mohamed Syamer Kutty Abba dan Muhammad Adib Abdul Ra'op, yang merupakan sebahagian daripada skuad yang seri 2-2 dengan Kemboja di Phnom Penh Ahad lepas, kembali bermain untuk Pulau Pinang FC dalam kemenangan 4-0 ke atas PT Athletic FC pada aksi pertama suku akhir Piala Cabaran 2024/2025 pada 10 Dis.

Kedua-dua pemain menyertai semula pasukan kebangsaan tetapi tidak diturunkan menentang Timor-Leste, namun terdapat spekulasi bahawa Harimau Malaya mungkin kehilangan beberapa lagi pemain yang dilaporkan dipanggil semula kelab mereka menjelang aksi penting, di Bangkok.

Terdahulu, Declan Lambert dan penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi hanya menyertai pasukan kebangsaan selepas perlawanan menentang Kemboja kerana komitmen bersama kelab masing-masing.

Apabila ditanya jumlah pemain yang akan bersama pasukan ke Bangkok pagi ini, Vicente enggan mendedahkan maklumat itu, sambil tetap komited untuk menurunkan skuad terbaik.

Malaysia, juara 2010, telah mendaftarkan 26 pemain untuk kempen kali ini.

Malaysia kini mendahului Kumpulan A dengan mengumpul empat mata, satu mata di depan juara bertahan Thailand dan Singapura yang masing-masing baru bermain satu perlawanan di tempat kedua dan ketiga.

Kemboja menduduki posisi keempat dengan satu mata manakala Timor-Leste kekal di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan