AM

JAWATANKUASA PILIHAN KHAS SARAN KPM TAMBAH BAIK PENDIDIKAN KESIHATAN

12/12/2024 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) disaran memastikan pendidikan kesihatan merangkumi kandungan menyeluruh seperti panduan menangani sentuhan selamat dan tidak selamat termasuk yang melibatkan ahli keluarga.

Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Dewan Rakyat Parlimen ke-15 dalam kenyataan hari ini mengesyorkan perkara itu dan mencadangkan KPM memperkasakan murid dengan strategi praktikal di luar skop buku teks.

Jawatankuasa itu juga mencadangkan isu seperti mengejek dan body shaming harus diberikan perhatian dengan memupuk penghargaan terhadap tubuh dan ciri-ciri semula jadi bagi meningkatkan keyakinan diri.

"Selain itu, pendekatan holistik diperlukan untuk menangani pedofilia, termasuk pendidikan perlindungan kanak-kanak, memperkasakan ibu bapa dan pendidik dengan pengetahuan mengenal pasti ancaman serta mendidik kanak-kanak tentang batasan fizikal dan emosi," katanya.

Pendidikan kesihatan juga perlu menekankan kemahiran bersosial dan kepimpinan untuk mengimbangi pengaruh penggunaan alat teknologi yang tidak terkawal di samping meningkatkan kesedaran tentang penyakit berjangkit seperti STD melalui maklumat menyeluruh tentang punca, penularan, gejala, kesan dan pencegahan.

Menurut kenyataan itu, KPM perlu melaksanakan aktiviti Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) tambahan di luar waktu pembelajaran secara berasingan antara pelajar lelaki dan perempuan untuk topik khusus dan sensitif bagi menyediakan suasana kondusif dan selesa kepada guru dan pelajar memahami isu dengan lebih baik.

Antara syor lain, KPM disaran memasukkan topik berkenaan undang-undang melibatkan hak asasi dan tanggungjawab kanak-kanak serta hukuman yang berkaitan kesalahan jenayah seksual terutamanya kes suka sama suka melibatkan kanak-kanak bawah umur. 

Menurut kenyataan itu, Pengerusi Jawatankuasa tersebut Yeo Bee Yin telah memberikan penerangan terhadap satu daripada Penyata Jawatankuasa berkenaan silibus PEERS yang diajar di sekolah rendah dan menengah di bawah KPM - DR. 44/2024, dan penyata itu telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Dis lepas.

Setelah melihat dan meneliti isu berbangkit berkenaan remaja yang berkonflik dengan undang-undang, kenyataan itu memaklumkan pihak Jawatankuasa mendapati umur kanak-kanak yang terlibat dengan kes-kes jenayah seksual, sexual grooming dan isu berkaitan seksualiti adalah serendah lapan tahun.

"Pihak Jawatankuasa merasakan terdapat keperluan untuk menilai sama ada kanak-kanak benar-benar memahami isu-isu pendidikan yang disampaikan di sekolah. 

"Adakah silibus pendidikan kesihatan yang diajar di sekolah mampu melindungi anak-anak kita daripada risiko jenayah seksual yang semakin membimbangkan," menurut kenyataan itu.

Jawatankuasa turut dimaklumkan bahawa kurikulum baharu yang dijangka dilaksanakan mulai 2027 akan terus memperkasakan PEERS dengan menyepadukan elemen baharu tanpa sepenuhnya bergantung kepada silibus lama. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan