AM

318 STESEN PEMANCAR TELEKOMUNIKASI TERKESAN BANJIR TELAH MULA BEROPERASI - FAHMI

12/12/2024 05:38 PM

KUALA NERUS, 12 Dis (Bernama) -- Sebanyak 318 stesen pemancar atau menara telekomunikasi di seluruh negara yang terkesan oleh bencana banjir sejak November hingga hari ini, telah mula beroperasi semula.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata terdapat lima lagi stesen pemancar terkesan dengan bencana alam itu yang masih belum beroperasi.

“Secara keseluruhan 264 pemancar telekomunikasi di Kelantan terkesan oleh banjir, 49 pemancar di Terengganu, sembilan di Pahang manakala satu di Johor,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan siri akhir Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa di Zon Timur di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2024 Arul Rajoo Durar Raj serta Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam.

Sementara itu Fahmi berkata 97 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara terkesan dengan bencana banjir sehingga semalam, dan daripada jumlah itu 88 NADI telah kembali beroperasi.

Beliau seterusnya menasihati orang ramai untuk menyemak kebenaran sesuatu maklumat yang disebarkan di media sosial termasuk berkaitan bencana banjir, melalui laporan media arus perdana seperti Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan akhbar harian lain.

“Sekiranya kita tidak melihat perkara itu dilaporkan mana-mana pihak jangan kita sebarkan maklumat itu, tunggu pengesahan pihak berkuasa dan media arus perdana,” katanya.

Bagaimanapun Fahmi berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenaj penyebaran maklumat palsu berkaitan banjir di sosial media, namun sekiranya ada, pihak berwajib termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan sewajarnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan