DUNIA

Gyeongju Sedia Jadi Pusat Diplomasi Antarabangsa Pada APEC 2025

12/12/2024 06:10 PM
Daripada Voon Miaw Ping

(Penulis baru-baru ini menyertai Program Wartawan Asing yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Korea Selatan. Program itu termasuk lawatan suai kenal ke Gyeongju, bandar yang bakal menjadi tuan rumah forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 2025).

 

GYEONGJU (Korea Selatan), 12 Dis (Bernama) -- Bandar bersejarah Gyeongju di Korea Selatan bakal menjadi tumpuan utama dalam diplomasi antarabangsa apabila ia menjadi tuan rumah edisi ke-32 Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 2025. 

Terkenal dengan warisan budaya serta kemajuan industrinya, Gyeongju akan memainkan peranan penting dalam menonjolkan potensi Korea Selatan bagi memupuk kerjasama ekonomi dalam kalangan anggota serta memperkukuh hubungan pelbagai hala di rantau Asia Pasifik. 

Gyeongju, yang terletak 275 kilometer di tenggara Seoul DAN meliputi kawasan seluas 1,324 kilometer persegi merupakan bandar kelima terbesar di Korea Selatan.

Bandar ini dihubungkan oleh rangkaian infrastruktur yang canggih termasuk laluan udara, jalan raya dan kereta api, dengan empat lapangan terbang berhampiran iaitu Lapangan Terbang Ulsan (31km), Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae (78km), Lapangan Terbang Antarabangsa Daegu (52km) dan Lapangan Terbang Pohang Gyeongju yang hanya 25.5km jauhnya.

Semasa lawatan itu, penulis berpeluang merasai pengalaman menaiki kereta api berkelajuan tinggi Korea, KTX, dengan melakukan perjalanan dari Seoul ke Gyeongju yang hanya mengambil masa dua jam 15 minit sambil menikmati pemandangan indah landskap Korea.

 

Pusat Tamadun Korea

Gyeongju pernah menjadi ibu kota Dinasti Silla yang memerintah Semenanjung Korea dari abad pertama hingga kesembilan. Pengaruhnya masih jelas kelihatan sehingga hari ini.

Bandar ini mempunyai empat Tapak Warisan Dunia UNESCO, termasuk Kampung Rakyat Yongdong dan Kuil Bulguksa, serta lebih 370 mercu tanda budaya yang signifikan.

Digelar sebagai "muzium tanpa dinding" kerana warisan tapak sejarah dan arkeologinya yang tersebar di seluruh bandar, Gyeongju menawarkan pengunjung gambaran tidak ternilai tentang kekayaan warisan budaya Korea.

Menurut pegawai tempatan, tapak sejarah dan arkeologi Gyeongju antara yang paling kukuh terpelihara di Korea Selatan, meskipun melalui detik pergolakan lampau termasuk tempoh peperangan.

Pegawai Perbandaran Bandar Gyeongju, Danny Cho yang bertanggungjawab dalam aktiviti promosi warisan, berkata kerajaan tempatan menitikberatkan usaha pemeliharaan tapak bersejarah dan budaya di bandar ini.

Ini termasuk pelaksanaan peraturan ketat terhadap aspek baik pulih dan penggunaan bahan untuk bangunan yang diklasifikasikan sebagai aset warisan.

Kerajaan memperuntukkan kira-kira KRW1.1 bilion setiap tahun untuk aktiviti pemeliharaan seperti penggantian bumbung jerami.

"Seiring perubahan masa dan trend, pemeliharaan tapak bersejarah semakin penting.

“Justeru, kami memanfaatkan kemajuan teknologi terkini untuk meningkatkan kesedaran mengenai usaha pemuliharaan warisan budaya, terutama melalui media sosial bagi melibatkan golongan muda untuk bersama-sama dalam usaha ini," katanya.

Beliau berkata Hwangnidan Street, kawasan yang meriah dan moden, menjadi contoh kejayaan kerjasama awam-swasta dalam pemuliharaan warisan.

Kawasan itu menampilkan bangunan tradisional Korea ‘hanok’ yang telah diubah suai menjadi kafe, restoran dan kedai, menggabungkan suasana tradisional dengan estetik moden.

 

Hab Teknologi dan Nadi Masa Depan

Selain kaya dengan warisan budaya, Gyeongju juga merupakan hab teknologi dan pembangunan ekonomi penting di Korea Selatan, terutama dalam bidang tenaga nuklear, teknologi hijau serta pembuatan automotif.

Bandar ini merupakan tapak kepada loji tenaga nuklear utama negara seperti Loji Tenaga Nuklear Wolseong dan Shin-Wolsong, mengukuhkan peranannya dalam masa depan tenaga Korea Selatan serta menyumbang kepada kemajuan teknologi nuklear global.

Industri pertanian, ternakan dan perikanan di Gyeongju turut menyumbang kepada agenda keselamatan makanan negara itu.

Pelancongan juga merupakan pemacu ekonomi utama dengan 47.68 juta pelawat direkodkan pada 2023, termasuk 30 peratus pelancong antarabangsa.

 

APEC 2025 Pacu Profil Gyeongju

APEC 2025 menandakan kali ketiga Korea Selatan mempengerusikan forum ekonomi tahunan itu sejak penubuhannya pada 1989.

Sebagai tuan rumah, Gyeongju dijangka menonjolkan pencapaian ekonomi dan strategi masa depan Korea Selatan di APEC 2025, di bawah tema “Building a Sustainable Tomorrow: Connect, Innovate, Prosper”.

Tema ini juga menggariskan matlamat negara untuk memajukan kerjasama global mengenai kecerdasan buatan, keselamatan makanan dan tenaga bersih, selaras dengan Wawasan Putrajaya 2040.

Lebih 200 mesyuarat dijadualkan berlangsung sepanjang kepengerusian Korea Selatan, dengan acara kemuncak, Minggu Pemimpin Ekonomi APEC dijadual pada November 2025.

Menurut Institut Pembangunan Gyeongbuk, APEC 2025 dijangka menjana impak ekonomi melebihi KRW1.8 trilion di seluruh negara dan KRW1.43 trilion di peringkat serantau, selain mencipta kira-kira 7,908 peluang pekerjaan.

Korea Selatan sebelum ini pernah mempengerusikan forum itu di Seoul pada 1991 dan Busan pada 2005.

APEC hari ini terdiri daripada 21 negara anggota. Malaysia dan Korea Selatan adalah antara 12 ekonomi pengasasnya bersama Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.

China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertai pada 1993. Chile menyertai pada 1994 diikuti oleh Peru, Rusia dan Vietnam pada 1998.

Dengan gabungan populasi 3 bilion orang, ekonomi APEC mewakili kira-kira 62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 47 peratus daripada perdagangan dunia.

Selain daripada perdagangan, APEC juga memudahkan pelaburan, pembinaan kapasiti dan perkongsian pengetahuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan