AM

KERTAS DASAR CADANGAN PINDAAN AKTA KOPERASI 1993 DIBENTANG KE KABINET BULAN INI

12/12/2024 07:13 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan membentangkan kertas dasar cadangan bagi pindaan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) pada mesyuarat Kabinet bulan ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pindaan akta koperasi itu akan menyentuh antaranya mengenai tadbir urus koperasi termasuk pelaksanaan Mesyuarat Agung Koperasi, pendaftaran dan kawal selia. 

“Saya akan bentangkan kertas dasar kepada Kabinet bulan ini dan draf penuh akan dibentangkan (di Parlimen) tahun depan. Kita telah buat edaran kepada semua kementerian untuk dapatkan ulasan, dan maklum balas yang kami terima sangat positif. Jadi saya sudah bersedia mengangkat dan membentang kertas dasar cadangan pindaan akta ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Peluncuran Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 Peringkat Kebangsaan di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), di sini hari ini. 

Ewon berkata pada masa sama KUSKOP akan melaksanakan satu sesi libat urus terakhir bersama pimpinan gerakan koperasi negara khususnya Angkasa, Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan dan Ahli Parlimen. 

“Saya ingin melibatkan Ahli-Ahli Parlimen kerana mereka adalah pembuat dasar dan ‘law maker’ di negara ini. Saya tidak mahu mereka hanya terlibat selepas ia dibentangkan di Parlimen nanti,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan