AM

DAKWAAN JENAZAH BAYI DITAHAN HOSPITAL: KKM TUNGGU DAPATAN SIASATAN CKAPS, DIJANGKA MINGGU DEPAN - DZULKEFLY

14/12/2024 03:23 PM

GEORGE TOWN, 14 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menunggu dapatan laporan siasatan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) mengenai dakwaan sebuah hospital swasta menahan jenazah bayi kerana ibu bapa gagal menjelaskan bil hospital lebih awal.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dapatan laporan itu dijangka diperoleh selewat-lewatnya pada Mesyuarat Pasca Kabinet minggu depan, yang merupakan mesyuarat terakhir tahun ini.

Beliau berkata KKM sentiasa memantau pengawasan fasiliti hospital swasta di negara ini yang tertakluk kepada Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

"Bagaimanapun kes ini agak unik dari segi latar belakang dan sebagainya, jadi kita tunggu dapatan dan siasatan yang betul untuk kita berlaku adil, tentunya kita simpati dengan keluarga malang ini.

"Namun kita akan terus mengadakan pemantauan kami di bawah tanggungjawab CKAPS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Responden Pertama Komuniti Malaysia yang pertama kali diadakan, di sini hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial berkaitan tindakan sebuah hospital swasta di Selangor yang dikatakan menahan mayat bayi lelaki selama 16 hari di dalam peti sejuk mayat kerana bapanya tidak membayar bil.

Rabu lepas hospital swasta terlibat menafikan dakwaan itu, sebaliknya menjelaskan bahawa pihaknya telah memberi kebenaran mengebumikan jenazah bayi itu sebelum bayaran bil hospital dibuat.

Sebelum itu mengulas mengenai laporan media yang mendakwa kekurangan tenaga kerja perubatan di Hospital Seri Manjung, Perak, Dzulkefly berkata beliau masih menunggu laporan daripada semua pihak yang terlibat, di dalam dan luar KKM

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan