AM

KOORDINASI AGENSI PELAKSANA PERSEKUTUAN-NEGERI PERLU PENAMBAHBAIKAN – FADILLAH

15/12/2024 06:03 PM

KOTA SAMARAHAN, 15 Dis (Bernama) -- Koordinasi antara agensi pelaksana Persekutuan dan negeri perlu ditambah baik bagi membolehkan maklumat tepat diperoleh berhubung status kemajuan projek kerajaan Persekutuan di Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ketiadaan koordinasi yang baik boleh menyebabkan agensi pelaksana Persekutuan memberikan maklumat yang berlainan dengan apa yang diberikan oleh agensi pelaksana peringkat negeri.

“Kebanyakan masalahnya ialah kemas kini status projek. Kadang-kadang di peringkat kementerian, data yang ada berdasarkan apa yang dimasukkan tetapi bila kita bermesyuarat projek itu ada yang sudah bermula tapi masih tidak dikemas kini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Status Pelaksanaan Projek/Program Pembangunan Negeri Sarawak di sini hari ini. 

Beliau berkata koordinasi yang baik ini akan memastikan peruntukan digunakan secara efisien dan projek dilaksanakan mengikut jadual, selain memudahkan pemantauan bagi menangani sebarang cabaran dalam pelaksanaan projek.

“Seperti biasa dalam pelaksanaan projek ini kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan daripada pelaporan (dalam mesyuarat) itu tadi, masih ada juga projek daripada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) belum dapat disempurnakan,” katanya.

Fadillah yang bertanggung jawab memantau status projek di Sabah dan Sarawak berkata sebanyak 11 projek sakit dikenal pasti di Sarawak, dengan pelbagai langkah sedang diambil untuk menyelesaikan isu yang dihadapi.

Beliau berkata jumlah projek sakit adalah sedikit jika dibandingkan dengan projek Persekutuan yang dilaksanakan mengikut jadual di negeri itu. 

“Ada (projek sakit) yang dapat diselamatkan dan dapat disiapkan tapi ada yang terpaksa dibincangkan sama ada projek akan ditamatkan kontrak disebabkan kegagalan kontraktor menyiapkannya dan kita akan terpaksa tender semula,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan