AM

PM THAILAND DIBERI SAMBUTAN RASMI DI PERDANA PUTRA

16/12/2024 10:25 AM

PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, diberi majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, di sini hari ini.

Paetongtarn yang tiba di sini semalam untuk lawatan sulungnya ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Ogos lepas, disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik tiba pada pukul 9 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormatan oleh tiga pegawai dan 102 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).

Majlis itu turut dihadiri pasangannya, Pidok Sooksawas dan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.

Paetongtarn kemudian menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan perjumpaan dengan Anwar di bawah kerangka kerja Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand (AC) ke-tujuh.

Perjumpaan itu bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala, meneroka bidang kerjasama baharu, dan meningkatkan kerjasama serantau.

Selepas AC ke-7, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran dua memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang kebudayaan, kesenian, dan warisan, serta pembangunan industri getah dan kerjasama ekonomi.

Lawatan Paetongtarn menekankan persahabatan yang terjalin lama dan hubungan kukuh antara Malaysia dan Thailand sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN.

Pada 2023, Thailand merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia di dunia dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah US$24.83 bilion (RM113.16 bilion).

Antara Januari dan Oktober 2024, perdagangan dua hala telah mencecah US$20.75 bilion (RM95.50 bilion), berbanding US$20.69 bilion (RM94.37 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023.

-- BERNAMA



BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan