AM

KPKM SALUR RM13.23 JUTA KEPADA PESAWAH TERJEJAS BANJIR TAHUN INI

16/12/2024 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyalurkan bantuan sebanyak RM13.23 juta kepada 6,747 pesawah yang terjejas banjir pada tahun ini.

 Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata bantuan itu adalah untuk kerosakan dan kemusnahan kawasan tanaman berkeluasan 12,800 hektar berdasarkan data yang dikumpulkan setakat Oktober lepas.

“Kelantan, Kedah dan Perlis ialah beberapa negeri yang mengalami kesan dan kerugian paling besar akibat bencana yang telah melanda negara.

“Tabung Bencana Tanaman Padi 2023 sebelum ini sudah menyediakan RM8.38 juta untuk bantu 4,946 pesawah di ketiga-tiga negeri berkenaan melibatkan kawasan musnah seluas 7,400 hektar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Abdul Nasir Idris mengenai nilai bantuan diberi kepada pesawah dan bilangan pesawah yang menerima manfaat daripada tabung berkenaan.

Arthur berkata pada masa sama pihaknya akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa induk esok bagi menilai kerosakan daripada pemohon yang terlibat dengan bencana banjir dari Jun hingga Oktober tahun ini.

“Ia juga melibatkan tiga negeri dan kita setakat ini menganggarkan kerosakan sebanyak RM12.88 juta dan melibatkan 5,817 pesawah, tetapi yang kita maklum gelombang banjir ini datang lagi setiap beberapa fasa.

“Mesyuarat yang akan berlangsung esok ini hanya untuk menilai kerosakan dari Jun hingga Oktober dan kita dilanda sekali lagi pada November dan Disember, kita sedang mengumpul data dan buat penilaian kepada gelombang terbaharu ini, (mungkin) mengambil masa sebab kadang-kadang kita kena tunggu air surut sebelum kita boleh buat penilaian dan hal itu pun mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata pihaknya dijangka mengadakan mesyuarat jawatankuasa induk untuk gelombang terkini pada awal tahun hadapan bagi penilaian dan penyaluran bantuan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan