EKONOMI

MALAYSIA, THAILAND KOMITED PERKUKUH PERDAGANGAN DUA HALA, PELABURAN, SASAR US$30 BILION MENJELANG 2027

16/12/2024 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Malaysia dan Thailand komited untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan dua hala, melalui Pasukan Petugas Bersama mengenai Perdagangan dan Pelaburan, dengan sasaran US$30 bilion menjelang 2027.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun sasaran itu kelihatan agak tinggi, namun potensi ekonomi yang memberangsangkan di Thailand dan Malaysia menjadikan ia satu matlamat yang perlu diusahakan oleh kedua-dua negara.

Semasa sidang media bersama Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra hari ini, Anwar berkata wilayah utara Malaysia memerlukan tumpuan dan pelaburan tambahan, sama seperti keperluan di wilayah selatan Thailand.

​​​​Paetongtarn berada di sini sempena lawatan rasmi ke Malaysia dari 15-16 Dis.

Semasa lawatan tersebut, beliau turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai getah antara Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor dan Pemangku Gabenor Pihak Berkuasa Getah Thailand, Sukatus Tarngwiriyakul.

Paetongtarn berkata, dari segi kerjasama ekonomi, kedua-dua negara akan menumpukan kepada usaha untuk berdagang dan melabur dalam ketersambungan sempadan, ekonomi digital dan pelancongan.

Beliau juga memberi penekanan kepada potensi kerjasama dalam industri getah dan halal, yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara selain komited untuk mencapai sasaran perdagangan bernilai US$30 bilion menjelang 2027.

"Bagi kawasan sempadan, kami membincangkan keperluan untuk menangani masalah banjir yang dihadapi kedua-dua negara, dan akan terus bekerjasama rapat untuk menambah baik hubungan jalan raya sempadan dan kereta api bagi memudahkan lebih banyak pergerakan barangan perdagangan dan interaksi antara rakyat.

“Selepas mesyuarat, kami menyaksikan pemeteraian dua MoU penting mengenai kerjasama getah dan kebudayaan. Saya yakin ini akan mengukuhkan ekonomi dan hubungan antara rakyat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan